Selasa,02 September 2014

Rupanya ubat rawat ulser

Semakan dibuat Harian Metro terhadap pil gugur janin yang dijual secara haram melalui Internet oleh seorang lelaki mendapati ia produk tulen, tetapi kegunaan sebenarnya bukan untuk menggugurkan kandungan sebaliknya ubat antiulser.

Pil itu didaftarkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk merawat penyakit ulser duodenum dan ulser gastrik.


Timbalan Pengarah (Pencegahan dan Kesedaran Pengguna) Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Mazlan Ismail yang diberikan pil itu untuk pengesahan berkata, pil itu diluluskan untuk jualan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, katanya, ramai pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan racun terkawal bagi tujuan mengaut untung tanpa mengira kesan buruk terhadap pengguna.


“Mereka menjual ubat berkenaan berdasarkan kesan negatif ke atas pengguna terutama berkait dengan aktiviti pengguguran janin secara haram berbanding fungsi asalnya,” katanya.


Menjelaskan lebih lanjut mengenai kegunaan pil itu, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM, Datuk Eisah A Rahman berkata, ia untuk menghalang rembesan asid usus, namun ia mempunyai risiko kontraksi pada uterus.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07
`