Rabu,30 Julai 2014

SMA MAIWP sekolah terbaik

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Agama (SMA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dinobatkan sekolah agama terbaik di ibu kota dan Selangor selepas keputusan peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) yang diraih tahun lalu memperoleh 100 peratus lulus.

Pengarah Jabatan Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali berkata, daripada 125 calon yang menduduki SMA tahun lalu, seramai 110 orang memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang) dan 15 lagi dianugerahkan Jayyid Jiddan (kepujian). “Keputusan diperoleh menunjukkan peningkatan memberangsangkan yang mana pada 2010 hanya 53 pelajar memperoleh Mumtaz dan 72 adalah Jayyid Jiddan. Bagaimanapun, SMA MAIWP mendapat 100 peratus lulus dan paling terbaik di ibu kota dan Selangor,” katanya pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Jawi 2012 di Dewan Muktamar, semalam.


Anugerah disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Menurut Che Mat, sehingga kini pihaknya mempunyai 84 sekolah rendah agama (SRA), 66 sekolah kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) dan dua sekolah menengah agama integrasi, selain peningkatan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA), Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu sangat membanggakan.

“Bagi UPSRA, daripada 4,618 pelajar menduduki, 414 mendapat 9A berbanding hanya 134 pada 2010 dan ia jelas menunjukkan peningkatan 209 peratus. Manakala jumlah yang mendapat 8A adalah 277 orang berbanding hanya 127 pelajar pada 2010,” katanya.


Che Mat berkata, daripada 7,210 calon menduduki UPKK, 321 pelajar mendapat 8A berbanding hanya 296 pelajar pada 2010 dan ia mengalami peningkatan sebanyak 8.4 peratus.


“Bagi keputusan PMR, daripada 29 menduduki, seramai 25 pelajar memperoleh 9A, tiga pelajar mendapat 8A dan seorang memperoleh 7A. Keputusan itu turut meletakkan SMA MAIWP sebagai sekolah terbaik daripada 101 sekolah di ibu kota dan Selangor yang menduduki peperiksaan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/24
`