Sabtu,26 Julai 2014

SOSEH SOSEH: Dang Suria jadi PRO

MANA hilangnya penyampai berita dan personaliti televisyen, Dang Suria kerana sudah lama SS tidak dengar cerita mengenainya. Maklumlah, selepas mendirikan rumah tangga dengan penulis lirik prolifik Ad Samad, dia seperti menyepikan diri seketika.

Teman SS ada juga merisik dekat teman di Astro Awani di mana tempat terakhir dia bekerja.

Kata mereka, Dang Suria yang pernah mengendalikan program Wacana Wanita sudah lama mening­galkan stesen terbabit.

Cerita terbaru yang mereka sampaikan, Dang Suria kini bergelar Pengurus Pegawai Perhubungan Awam di Hotel Royale Bintang The Curve dan Royale Bintang Damansara.


Wah, rupanya Dang Suria meninggalkan dunia pengacaraan kerana mahu beralih angin dan mencuba bidang baru.


Walaupun berbeza kerjaya, bidangnya masih sama membabitkan industri komunikasi.
Dalam SS sibuk bertanya mengenai Dang Suria, rakan SS terkejut apabila menerima panggilan daripadanya.

Kata rakan SS, sudah lama tidak bersua, panjang jugalah cerita mereka.

SS difahamkan, Dang Suria beralih angin kerana dia boleh menguruskan masanya dengan lebih baik. Tambahan pula anak kecil yang baru dilahirkan tiga bulan lalu memerlukan perhatian lebih.

Susah sekiranya dia mahu meneruskan kerjaya dalam bidang penyiaran memandangkan waktu kerja yang tidak tentu masa.

Begitupun, dia tidak nafikan ada ketika rindu dengan kerjaya lamanya.

Sebagai Pengurus Pegawai Perhubungan Awam, memberi ruang kepadanya bertemu rakan media, jadi sedikit sebanyak rasa rindu itu hilang.

Waktu sama, Dang menjelaskan dia kini sibuk mengendalikan satu persembahan amal yang dirancang Hotel Royale Bintang membabitkan penghibur terkenal dari seberang, Ruth Sahanaya.

Kata Dang Suria, satu majlis pengumuman mengenai­nya akan dilakukan dalam waktu terdekat.

SS menyambut baik perubahan dalam hidup Dang Suria.

Cuma rasa bimbang di hati SS ada sedikit, kerana sebelum ini dia tidak pernah nampak dan kenal siapa SS.

Tapi apabila sudah menjawat jawatan Pengurus Pegawai Perhubungan Awam ini, dia pasti akan selalu berkunjung dan bertemu rakan-rakan SS.

Apapun, salam perkenalan buat Dang Suria dengan jawatan barunya.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/09/28
`