Jumaat,25 Julai 2014

Safura terkenang Mariam

Oleh Norhadiani Baharom

SETIAP hari dia dihambat perasaan rindu dendam buat Allahyarhamah Nur Aisyah Mariam dan setiap kali itu bacaan al-Quran menjadi peneman, lalu meredakan perasaannya buat anak tersayang yang sudah 10 bulan kembali ke rahmatullah.

Akui wanita yang seketika dulu cukup terkenal dengan lagu Sedalam Mana Cintamu, kasih dan sayangnya terhadap Nur Aisyah Mariam tetap subur hingga ke akhir hayat.

“September ini genap setahun pemergian Nur Aisyah Mariam dan kalau arwah masih hidup, dia bakal meraikan ulang tahun ke-4 pada 23 Ogos ini.

“Setiap masa dan setiap hari saya mengingatinya, lebih-lebih lagi sepanjang Ramadan ini wajahnya kerap muncul dalam mimpi. Sering kali termimpikan arwah bersama arwah bapa saya yang meninggal tidak lama selepas Nur Aisyah.


“Dalam mimpi itu mereka kelihatan cukup gembira. Apabila perasaan rindu tidak terbendung, saya akan membaca ayat-ayat suci al-Quran untuk arwah juga bagi menenangkan diri. Jika saya ada masa terluang, dua atau tiga kali seminggu saya akan menziarahi kuburnya.


“Terus terang saya reda ketentuan ini dan menganggap ia qada dan qadar yang ditetapkan Yang Maha Esa buat saya. Saya percaya Tuhan menduga hamba-Nya yang boleh menerima ujian-Nya,” kata penyanyi bersuara lantang, Safura Ya’cob.

Mengakui, perasaan kehilangan anak itu amat menyakitkan dan pengalaman paling sedih pernah berlaku dalam hidupnya, namun apabila difikirkan semula, Nur Aisyah Mariam kini berada di tempat yang paling baik untuknya.

“Yang harus kita risaukan adalah kita yang sudah tua ini, bagaimanakah hari pengakhiran kita nanti. Cukupkah bekalan untuk kita menghadap Tuhan,” katanya.

Arwah Nur Aisyah Mariam adalah anak sulung hasil perkongsian hidup Safura dengan pelakon, Sharonizam Noor yang dibinanya hampir tujuh tahun lalu. Selain arwah, pasangan ini turut dikurniakan dua lagi cahaya mata iaitu Yusoff Firdaus dan Zara NurAisyah.

“Saya sedang mengandungkan Zara sewaktu pemergian Nur Aisyah Mariam. Masa hendak kebumikan arwah, saya minta izin dan berdoa supaya kandungan saya ketika itu adalah perempuan. Alhamdulillah, Allah s.w.t menggantikan Nur Aisyah Mariam dengan Zara Nuraisyah yang kini berusia tujuh bulan,” katanya.

Bintang teater muzikal Ronggeng Rokiah ini menambah, jika diturutkan perasaan, mungkin setiap hari hidupnya bertemankan kesedihan dan kemurungan.

Namun, apabila difikirkan perasaan ibu bapa lain yang anak mereka pergi dalam keadaan mengaibkan misalnya dibunuh dalam keadaan kejam, dia merasakan itu lebih menyakitkan.

“Nur Aisyah Mariam meninggal kerana mengalami demam panas yang berpanjangan serta dijangkiti kuman pada paru-parunya. Dia pergi saat di pangkuan saya.

“Apabila difikirkan semula, saya masih bertuah kerana berada bersamanya pada saat Nur Aisyah Mariam menghembuskan nafas terakhir. Bagi saya, ibu bapa yang kehilangan anak kecil, mereka jangan terlalu bersedih dan perlu kuat menjalani kehidupan kerana pada akhirat nanti, anak-anak kita akan membantu kita kelak,” katanya lagi.

Hadir bersama suaminya pada majlis berbuka puasa dan penyerahan cek royalti ahli Prism di Restoran Seri Melayu, baru-baru ini, Safura berkata, buat masa ini dia ingin menumpukan perhatian sepenuhnya pada keluarga.

“Buat masa ini saya memutuskan untuk berehat seketika. Sudah lebih 10 bulan saya tidak mengambil sebarang tawaran berlakon kerana belum bersedia meninggalkan anak-anak yang masih kecil untuk tempoh dan jangka masa yang lama.

“Tawaran nyanyian sekali sekala saya ambil kerana ia tidak memakan masa yang lama. Pendek kata, saya lebih senang menguruskan keluarga selain mengendalikan perniagaan kek lapis yang boleh dikatakan tempahan sempena Ramadan ini amat memberangsangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/31
`