Selasa,23 September 2014

Selamat anak, ibu

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

RASANYA semua lelaki bergelar suami akan mengaku mereka memberi sokongan kepada isteri dalam pelbagai hal, termasuk urusan kerja dan rumah tangga. Namun sokongan ini masih tidak lengkap jika tiada persefahaman dan kesepakatan dalam hal membabitkan perancangan keluarga.

Islam tidak menghalang penggunaan kaedah perancangan keluarga bagi memastikan setiap kehamilan dan kelahiran adalah dikehendaki, disayangi dan dialu-alukan. Malah, ia bukan saja membolehkan ibu bapa bersedia daripada segi mental, fizikal dan kewangan, tetapi perancangan kehamilan penting untuk kesihatan wanita sendiri.

Seorang teman lama mengadu, walaupun bersyukur dikurniakan anak tetapi melahirkan empat anak selepas hampir enam tahun mendirikan rumah tangga membuatkan dia berasa sangat letih dan tertekan. Mana tidaknya, kehamilan itu sendiri adalah satu tekanan kepada badan.

Kenapa perlu merancang? Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Jamiyah Hassan berkata, risiko kematian akibat melahirkan anak adalah berbeza mengikut negara iaitu antara satu kes kematian bagi setiap 20 kelahiran di Afrika dan satu kes bagi setiap 10,000 kelahiran di Eropah Utara.

Foto

KAEDAH IUD... selamat digunakan.

Foto

PENYUSUAN BAYI... kaedah semula jadi merancang keluarga.


Di negara kita ada banyak jenis kaedah perancangan keluarga dan antara yang popular ialah:


  • Kaedah semula jadi (contohnya penyusuan bayi atau ejakulasi di luar). Kaedah ini bagaimanapun kurang berkesan

  • Kaedah halangan seperti kondom. Ia adalah cara pencegahan kehamilan yang baik, murah dan dapat mengelak jangkitan penyakit seksual

  • Pemandulan iaitu mengikat peranakan bagi wanita atau lelaki

  • Pil perancang (wanita)

  • Alat intrauterin (IUD)

  • Sistem intrauterin (IUS)

  • Implan

  • Suntikan

    Walaupun kaedah disenarai di atas sudah lama ada di negara kita, masih ramai wanita bimbang menggunakannya. Kebimbangan timbul akibat salah faham mengenai kaedah perancangan keluarga, malah sesetengahnya percaya kepada pendapat lama yang tidak berasas.

    Antara salah faham mengenai kehamilan dan kaedah perancangan keluarga ialah:

  • Wanita tidak akan hamil jika tidak mencapai orgasma — Tidak benar. Walaupun tidak mencapai kepuasan dalam seks, wanita masih boleh hamil

  • Wanita tidak akan hamil jika mengadakan hubungan seks kali pertama — Tidak benar. Jika ketika itu dia mengalami proses ovulasi (pengeluaran telur), kehamilan boleh berlaku

  • Wanita tidak akan hamil jika mencuci vagina mereka sejurus selepas mengadakan hubungan seks — Tidak benar. Ini kerana sperma boleh berenang dengan cepat terus menuju ke dalam ruang rahim dan tiada cucian yang akan sampai ke rahim untuk membunuh sperma

  • Kehamilan tidak akan berlaku jika mengadakan hubungan seks pada ‘hari selamat’ — Tidak benar kerana sangat susah sebenarnya untuk mengira bilakah hari yang anda benar-benar ‘selamat’ berdasarkan kiraan kitaran haid. Ini kerana kitaran haid dipengaruhi banyak faktor, termasuk perubahan hormon, suhu badan dan proses ovulasi

  • IUD akan menyebabkan jangkitan — Tidak benar. Memang ada kajian yang mendakwa perkara ini tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati ada fakta berat sebelah, termasuk daripada segi penggunaan pembandingan yang tidak sesuai, diagnosis jangkitan berkaitan pengetahuan pegawai soal selidik mengenai IUD dan kegagalan mengawal faktor risiko tambahan seperti bilangan pasangan. Kajian lain mendapati risiko jangkitan di kalangan pengguna IUD dan bukan pengguna adalah lebih kurang sama

  • IUD tidak boleh digunakan oleh wanita yang tidak pernah melahirkan anak — Tidak benar. Itu adalah rumusan daripada kajian lama yang tidak membezakan antara wanita yang tidak pernah melahirkan anak dengan golongan mengamalkan seks berisiko tinggi.

    Kajian lain ke atas 1,895 wanita mendapati tiada kaitan antara penggunaan IUD awal dengan pengikatan tubal (pengikatan tubal sebelum ini dikaitkan dengan jangkitan klamidia). Garis panduan terkini menyarankan penggunaan IUD sebagai pilihan kaedah yang berkesan bagi wanita yang tidak pernah melahirkan anak

  • Kaedah perancangan keluarga yang mengandungi hormon, terutama pil perancang untuk jangka masa panjang akan menyebabkan kanser payudara — Tidak benar. Pengambilan pil perancang dapat mengurangkan 58 hingga 79 peratus risiko kanser payudara di kalangan wanita yang mempunyai risiko keturunan untuk mendapat kanser itu. Kajian mendapati semua jenis pil perancang kombinasi mengurangkan risiko pembentukan sel kanser payudara sebanyak 40 peratus.

    Pil perancang ada beberapa manfaat lain seperti memberi perlindungan kepada:

    a. Kanser ovari (pengurangan risiko antara 40 hingga 80 peratus) di kalangan pengguna; perlindungan bermula selepas setahun menggunakannya dan risiko berkurang lagi 10 hingga 12 peratus bagi setiap tahun berikutnya.

    b. Pengurangan 50 peratus pengurangan risiko untuk kanser endometrium (lapisan dalam rahim) yang bermula setahun selepas pil diambil. Perlindungan dikatakan berterusan sehingga 15 tahun selepas berhenti mengambil pil perancang.

    c. Pengurangan 50 hingga 79 peratus untuk pembentukan sista ovari

    d. Pengurangan masalah fibroid (17 peratus) bagi setiap lima tahun.

    Selain itu ia didapati dapat mengurangkan penyakit keradangan pelvik, meningkatkan ketumpatan tulang serta memperbaiki tekstur kulit. Cuma masalahnya ialah kepatuhan pada jadual pengambilan kerana ia perlu dimakan setiap hari

  • Jika wanita yang mengambil pil perancang hamil, adakah ia akan membahayakan janin dalam kandungan? — Tidak. Kajian menunjukkan pengambilan pil perancang tidak menjejaskan pembentukan janin. Wanita boleh meneruskan kehamilan mereka tanpa rasa bimbang.

    Dr Jamiyah berkata, untuk memastikan keberkesanan pil perancang, wanita perlu membaca arahan pengambilan seperti tercatat dalam label atau risalah panduan yang dilampirkan. Jika masih tidak pasti, rujuk atau dapatkan nasihat doktor

  • Dos pil perancang yang tinggi (30 mikrogram) memberi perlindungan lebih baik berbanding 20 mikrogram — Tidak benar. Kajian perbandingan menunjukkan tiada perbezaan kadar kehamilan di antara dua dos berkenaan. Walaupun pengambilan dos rendah boleh menyebabkan pendarahan tidak sekata, ia boleh mengurangkan komplikasi vaskular (salur darah) dan gejala yang dialami apabila ia dihentikan

  • Kaedah perancangan keluarga yang mengandungi hormon terutama pil perancang akan menyebabkan peningkatan berat badan - Tidak benar. Banyak kajian dilakukan untuk membandingkan kesan peningkatan berat badan antara wanita yang mengambil pil perancang dengan golongan menggunakan kaedah perancangan tanpa hormon.

    Didapati pertambahan berat badan antara dua kumpulan ini lebih kurang sama. Pertambahan berat badan bukan disebabkan hormon di dalam pil perancang tetapi apabila tabiat makan seseorang. Jika pengambilan makanan berlebihan daripada diperlukan, semua orang boleh menjadi gemuk

  • Tidak kira sebagus manapun kaedah perancangan itu, seseorang wanita masih boleh hamil — Biasanya kehamilan ‘kemalangan’ ini berlaku apabila kondom tidak dipakai dengan betul atau ada kebocoran pada kondom. Pengambilan pil perancang yang tidak mengikut jadual juga menunjukkan lapan peratus kehamilan, terutama pada tahun pertama ia diambil.

    Bagaimanapun, jika kondom digunakan dengan betul, catatan kehamilan sangat rendah (dua peratus saja). Namun bagi kaedah lain — pil perancang, suntikan hormon progestogen, IUD, IUS atau implan — sangat berkesan mencegah kehamilan. Bagaimanapun usah risau, jika anda ingin mengandung, yang perlu dilakukan ialah menghentikan penggunaan kaedah perancangan dan kesuburan anda akan kembali seperti asal.

    Artikel ini disiarkan pada : 2011/04/17
  • Artikel Lain

    `