LEBIH dua bulan bergelar isteri, rumah tangga pelakon Serina Redzuawan dan suaminya Gavin Edward O'luanaigh atau Salahudin Ghaffar, 33, bakal diserikan dengan kehadiran cahaya mata apabila kini hamil.
Kata anak tukang masak terkenal Datuk Chef Wan ini, dia mula berasa dirinya kurang sihat ketika terbabit dengan penggambaran program Jalan-Jalan Cari Makan, baru-baru ini. Dia juga menjadi pengacara program santai terbitan TV3 itu menggantikan tempat Maria Tunku Sabri.
Serina berkata, apabila mendapat tahu dirinya mengandung, suaminya adalah orang yang paling gembira kerana bakal bergelar ayah.
"Suami terus menghadiahkan saya telefon bimbit Blackberry dan percutian selama seminggu ke Perth, Australia. Kami berlepas ke sana, hari ini (Isnin).
"Saya sebenarnya berharap anak pertama kami ini lelaki tapi ia semuanya adalah ketentuan Tuhan. Apa yang penting, bayi yang dilahirkan nanti sihat dan cukup sifatnya," katanya.
Serina berkata, pada mulanya, dia berasa bimbang berat badannya semakin bertambah apabila terbabit dengan program masakan seperti Jalan-Jalan Cari Makan itu. Dia juga baru menyiapkan 10 episod program berkenaan.
"Selaku pengacara memang saya perlu merasa semua sajian yang dihidangkan dalam program itu. Bayangkan, dalam sehari saya perlu merasa 40 jenis sajian dari tiga restoran berbeza.
"Setakat ini, berat badan saya naik dua kilogram kerana mengandung. Apapun, saya akan mengatasi masalah pertambahan berat badan dengan membuat senaman," katanya.
Selain program Jalan-Jalan Cari Makan, Serina juga sibuk menguruskan syarikatnya, Real Wonders Sdn Bhd dan Syarikat usahasamanya dengan Yusof Kelana, YKS Film Maker Sdn Bhd.
"YKS Film Maker Sdn Bhd ini adalah syarikat production house dan pengurusan acara dan kami baru melancarkan projek telefilem pertama, Kubungman. Saya tubuhkan syarikat ini dengan duit hasil titik peluh dalam bidang seni. Saya juga percaya ia rezeki selepas mendirikan masjid.
"Saya memilih Yusof untuk menjadi rakan kongsi kerana dia bagaikan sifu dalam bidang seni," katanya.
KULIM: Episod 'Cinta Lombok' sekali lagi diselesaikan oleh Biro Pengaduan Pemuda Umno yang membawa ...