Jumaat,19 September 2014

Shahrizan tidak berasa tertekan

Oleh Asrol Awang

BEK tengah Pahang, Shahrizan Mohd Salleh tidak tertekan dengan sasaran Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) menjulang satu piala dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurut pemain kelahiran Pekan, Pahang itu, sokongan padu pengurusan terutama jurulatih, Dollah Salleh dan pengurus, Datuk Che Nasir Salleh, dia yakin pasukan pasti mempamerkan prestasi terbaik.


“Siapa tidak mahu menjulang piala kerana setiap kali turun beraksi, kemenangan menjadi keutamaan.

“Saya bangga kerana bagi menghadapi Liga M, PBNP berjaya menyenaraikan lima pemain baru untuk memantapkan pasukan,” katanya.


Musim ini, pemain berusia 28 tahun itu menjaringkan 12 gol, termasuk lapan pada saingan Liga Super, Piala Malaysia (dua gol) dan Piala FA (satu).


Shahrizan sudah bersama Pahang selama 11 musim, termasuk Shahzan Muda pada (2005-2006) sebelum kembali bersama Pahang pada 2007.

Menurutnya, sesi latihan pagi dan petang yang menekankan latihan fizikal dan mental itu diharap membantu membentuk gandingan lebih mantap.


“Saya harap perjuangan musim 2011 berpihak kepada Pahang dalam usaha mengembalikan imej Pahang yang pernah menjulang Piala Malaysia pada 1992,” katanya.

Lima pemain baru itu ialah dua bekas pemain Selangor, R Surendran dan Zaiza Zainal Abidin, Nazrolerwan Makmor dan Munir Amran dari Felda United serta Mohd Faizol Hussain (Johor).

Artikel ini disiarkan pada : 2010/12/14
`