Khamis,24 Julai 2014

Siti Zulaikha versi Azrey

Oleh Norhadiani Baharom

PEMBABITAN Raja Azrey atau nama sebenarnya, Raja Azri Raja Kamaruzzaman, 33, dalam pementasan teater bangsawan bukanlah sesuatu yang asing.

Menimba pengalaman sebagai pelakon pada mulanya namun kini mengorak langkah lebih besar apabila kemampuannya diiktiraf serta layak duduk di bangku pengarah.

Salah satu percubaan teater bangsawan arahannya yang berjaya memperoleh sambutan membanggakan adalah Laksamana Do Re Mi. Ia dipentaskan di Panggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pertengahan tahun lalu. Bertitik tolak daripada kejayaan itu, Raja Azrey sentiasa teruja untuk mementaskan lebih banyak naskhah bangsawan yang belum pernah dipentaskan.

Antara dalam perancangan sekali gus menjadi pembuka 2011 adalah naskhah Bangsawan Perdana Siti Zulaikha (BPSZ) di Auditorium Taman Budaya Negeri Melaka pada 26 dan 27 Februari ini. Pertubuhan 1Malaysia adalah pihak yang bertanggungjawab mencetuskan idea dan turut bekerjasama dengan Pertubuhan Teater Klasik Perak dan Pertubuhan Rumpun Seni dan Teater Shah Alam (Resam).


Raja Azrey berkata, meskipun kali pertama mengarahkan teater bukan bergenre komedi, dia mengharapkan BPSZ dapat me­ngulangi kejayaan sama seperti Laksamana Do Re Mi.


“Siti Zulaikha, naskah asalnya berjudul Siti Zubaidah. Idea menukar tajuk ini kerana saya tidak mahu ia begitu ketara dengan naskhah asal. Pun begitu, gerakan jalan cerita masih sama cuma diolah sedikit untuk disesuaikan dengan ruang pentas yang digunakan selain lebih padat dan tidak meleret-leret.

“Plot cerita juga diubah dan tidak terikut-ikut konsep pementasan yang pernah dilakukan di Ipoh, Perak tidak lama dulu. Setiap pengarah ada cara sendiri dan Siti Zulaikha ini saya memperlihat sudut menarik pandangan saya mengenai naskhah ini,” katanya.

Teater ini membabitkan 80 pelakon termasuk penari dan pemuzik orkestra, manakala Ani Mayuni diberi kepercayaan sebagai teraju utama, Siti Zulaikha, Dj Pool (Sultan Zainal Ulung), Azza ( Putri Nurmanjalela), Khaty Azean (Permaisuri Tua), Syukor Yon (Sultan Arman Ulung) dan Eida Moin (Mak Inang). Latihan sudah dijalankan sejak dua minggu lalu.

Kata Azrey, objektif utama pementasan teater ini untuk mengembangkan bangsawan kepada anak muda yang barangkali tidak mengenali apa itu teater bangsawan selain menawarkan sesuatu pada penggemarnya.

“Saya rasa bertanggungjawab menggerakkan teater bangsawan sekali gus menjadi pelapis kepada aktivis sedia ada. Siti Zulaikha versi saya membawa perubahan agak ketara. Jika pementasan terdahulu memaparkan konflik kekeluargaan dan peperangan, saya lebih tertarik mengangkat percintaan Siti Zulaikha dan Sultan Zainal Ulung.

“Saya mahu memaparkan betapa kuatnya cinta mereka. Istimewanya Siti Zulaikha berbanding srikandi yang lain

di mana dia memiliki suara yang sangat merdu dan kerana suaranya itulah Sultan Zainal Ulung tertawan lalu mengahwininya sebagai isteri kedua.

“Memiliki pelbagai keistimewaan, selain kecantikannya yang diperakui ramai orang, Siti Zulaikha yang molek budi pekerti pandai bersilat dan berjuang untuk menyelamatkan suaminya yang ditawan ketika Kembayat Negara diserang oleh China.

“Bezanya, naskhah bangsawan Siti Zulaikha atau judul asalnya Siti Zubaidah tidak sepopular hikayat srikandi Tun Teja dan Tun Fatimah,” katanya.

Berhubung pemilihan barisan pelakon, Raja Azrey mengakui pementasan teater itu tidak membariskan artis popular.

Apa yang penting baginya, apabila disebut nama mereka, orang kenal.

“Mereka yang dipilih mestilah berkemampuan untuk menghayati dan menzahirkan watak diberi. Bukan semua artis popular boleh berlakon, me­nyanyi dan menari. Lebih-lebih lagi naskhah bangsawan yang berbeza daripada pementasan teater biasa.

“Ani Mayuni misalnya, dalam bangsawan dia adalah heroin saya. Saya sudah masak dengan pergerakannya termasuk komitmennya dalam pementasan yang pernah kami jayakan sebelum ini. Dia bukan saja boleh menyanyi tetapi juga menari, bersilat dan berlakon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/01/20
`