Ahad,24 Ogos 2014

Skru & Spanar: Kelebihan, kekurangan NGV

Saya menggunakan Volvo model 940 Turbo. Apakah kesannya jika saya menggunakan bahan bakar NGV yang boleh menjimat­kan minyak pada kenderaan saya. Adakah ia akan memudaratkan kenderaan itu?

FAREZ SHAH
Kuala Lumpur



Kelebihan menggunakan NGV ialah me­ngurangkan pelepasan gas berbahaya ke alam sekitar. Kenderaan NGV mengurangkan pelepasan karbon monoksida sehingga 93 peratus, oksida nitrogen (33 peratus), hidrokarbon reaktif (50 peratus) berbanding kenderaan petrol biasa.


Harganya juga lebih stabil berbanding bahan api berasaskan petroleum. Kenderaan NGV juga mempunyai kos penyeleng­garaan lebih rendah kerana pembakaran gas asli begitu bersih, menjimatkan dan mengurangkan kehausan enjin.


Bagaimanapun, ia mempunyai kelemahan apabila memerlukan ruang besar untuk memuatkan tangkinya. Ini berikutan ia perlu mengorbankan ruang barangan untuk menampung silinder penyimpanan bahan api.

Kelemahan lain adalah jarak pemanduan terhad dan biasanya hanya separuh berbanding kenderaan menggunakan petrol.

Bagaimanapun, ada juga kereta mampu menggunakan kedua-duanya seperti Mercedes E-Class. Ia diklasifikasi Teknologi Gas Asli (NGT) dan boleh dipandu 186 kilometer (km) ketika menggunakan gas asli, manakala 435 km bagi petrol.

Anda juga boleh menggunakan NGV bagi sebuah kenderaan dengan turbo, tetapi rangsangan kuasa atau ‘boost’ akan menjadi terhad.

Pam NGV sedia ada mungkin tidak mampu mengepam gas secukupnya jika kuasa ‘boost’ ditingkatkan, kecuali menukarkan kepada komponen berkenaan yang lebih tinggi.

Sistem penyejukan juga mungkin perlu ditingkat­kan untuk memastikan kesejukan pada operasi panjang. Dapatkan nasihat mereka yang pakar dalam pemasangan NGV bagi enjin turbo.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09