Rabu,23 Julai 2014

Srikandi Islam

KITA sering mendengar cerita dongeng tradisional Barat seperti Cinderella, Snow White, Peter Pan, Rapunzel dan banyak lagi. Tetapi pernahkah anda mendengar kisah silam srikandi Islam seperti Saidatina Aishah Abu Bakar, Ummu Sulaim binti Milhan, Fatimah Az-Zahraa atau Rabiatul Adawiyah?

Belum tentu semua mengenali mereka dan mungkin juga ada yang pernah mendengar nama-nama itu tetapi tidak tahu latar belakang mereka sehingga dikenali sebagai srikandi terkenal Islam zaman dulu.

Program bercerita sempena Ramadan di TV9 ini pastinya memberikan gambaran menarik kepada anda semua terutamanya adik-adik kecil untuk mendekati srikandi-srikandi Islam yang terkenal dan tersohor pada zaman Rasulullah SAW.

Disiarkan sebanyak lapan episod bermula 6 Ogos, jam 7.30 malam, Sirah Ameerah yang dihoskan penyanyi dan pelakon Bienda, atau nama sebenarnya Norrazlinda Razli, akan bercerita mengenai lapan srikandi terkemuka Islam ditemani oleh adik-adik comel berumur dari 4 tahun hingga 8 tahun.


Latar belakang seolah-olah berada di rumah dilengkapi dapur dan ruang tamu, Bienda akan mula bercerita mengenai perjuangan Fatimah Az-Zahraa.


Saidatina Fatimah Az-Zahraa r.a. ialah puteri bongsu Rasulullah SAW yang sangat disayangi baginda. Sewaktu kecil lagi, Fatimah Az-Zahraa r.a sudah merasai penderitaan dan penganiayaan yang dihadapi oleh ayahandanya termasuklah ketika baginda dilemparkan dengan najis oleh kaum Quraisy.

Hatinya luluh dan begitu sedih setiap kali melihat ayahandanya pulang dalam menegakkan agama Islam. Setiap kali Rasulullah SAW pulang, pastinya pakaian baginda akan diselaputi dengan najis dan Fatimah Az-Zahraa akan pantas membersihkan pakaian bapanya termasuklah kepala Rasulullah yang dipenuhi pasir akibat dilontar oleh kaum Quraisy.

Selain anak kesayangan beliau, Sirah Ameerah juga turut menceritakan mengenai kisah wanita pertama memeluk Islam iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan juga wanita pertama yang bertakhta di hati Rasulullah SAW. Malahan, baginda juga pernah menjelaskan kepada Saidatina Aishah Abu Bakar r.a. bahawa: “...tiada wanita yang paling aku cemburui di kalangan wanita di alam maya ini melainkan Saidatina Khadijah.”

Rasulullah sering mengingati Khadijah, sehingga Aisyah mengeluh dengan berkata, seakan-akan tiada wanita lain di dalam dunia ini melainkan Khadijah. Lantas Rasulullah SAW menjelaskan kepada Aisyah: “Khadijah adalah wanita yang sangat mulia dan bijaksana. Dia beriman denganku di saat semua manusia kufur denganku, ia membenarkan kata-kataku ketika semua manusia mendustaiku, ia meredakanku dengan hartanya ketika kaum kafir menyekatku.”

Kisah-kisah sejarah dan teladan yang diterajui oleh Shukri Ibrahim selaku penerbit program ini semestinya memberikan manfaat kepada kita semua. Pastinya Sirah Ameerah yang mengandungi lapan episod ini dapat memberi pengajaran kepada kita semua.

Untuk mengetahui sejarah menarik yang membabitkan lapan srikandi tersohor Islam ini, pastikan anda meluangkan masa hujung minggu anda seisi keluarga mulai 6 Ogos ini bersama Bienda.

Pastikan anda sentiasa bersama saluran Ramadan Di Hatiku TV9 sepanjang bulan Ramadan ini yang telah menyediakan pelbagai lagi program menarik khas buat penonton semua. Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak. Semoga kita semua sentiasa dalam perlindungan dan limpah kasih Allah SWT.


SIRAH AMEERAH

Episod 1 (6 Ogos) : Fatimah Az-Zahraa (Puteri Rasullulah SAW)

Episod 2 (7 Ogos) : Nusaibah (Si Jaguh Pedang)

Episod 3 (13 Ogos) : Saidatina Aishah Abu Bakar (Isteri Rasullulah SAW)

Episod 4 (14 Ogos) : Rabiatul Adawiyah (Sufi Perindu Cinta Illahi)

Episod 5 (20 Ogos) : Khaulah binti Al-Azwar (Srikandi Berkuda)

Episod 6 (21 Ogos) : Ummu Sulaim binti Milhan (isteri Rasulullah SAW)

Episod 7 (27 Ogos) : Asma binti Yazid (Ahli Pemidato Islam)

Episod 8 (28 Ogos) : Saidatina Khadijah binti Khuwailid (isteri pertama Rasulullah SAW dan Wanita Pertama Memeluk Islam)

Artikel ini disiarkan pada : 2011/07/30

Artikel Lain

`