Rabu,30 Julai 2014

Suami lewat balik naik hantu

KUALA LUMPUR: Angkara menegur suami, seorang wanita berusia 29 tahun cedera di badan dan kepala selepas disepak terajang lelaki terbabit dalam kejadian di rumah mereka di Cheras, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa dipukul suaminya berusia 29 tahun selepas menegur lelaki terbabit yang sering pulang lewat ke rumah.


Menurut sumber, mangsa yang menunggu kepulangan suaminya sejak jam 8 malam berang selepas lelaki terbabit tidak pulang ke rumah.

“Sebaik suaminya tiba di rumah jam 11 malam, mangsa menegur suaminya yang sering pulang lewat malam dan mula mempersoalkan aktiviti luar lelaki terbabit.


“Tindakan mangsa menimbulkan kemarahan suaminya menyebabkan berlaku pertengkaran,” katanya.


Katanya, suami mangsa yang gagal mengawal kemarahan mula bertindak agresif dengan memukul mangsa. “Lebih malang, suami mangsa yang bagaikan dirasuk terus menyepak terajang mangsa hampir 10 minit,” katanya.

Sumber berkata, ketika disepak terajang itu, mangsa hanya mampu menutup kepalanya menggunakan tangan.


“Suami mangsa hanya berhenti memukul mangsa selepas mendengar tangisan anak lelaki mereka berusia dua tahun sebelum lelaki terbabit keluar daripada rumah,” katanya.

Tidak berpuas hati dengan tindakan suaminya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Cheras, di sini, menuntut siasatan dan tindakan lanjut diambil terhadap lelaki terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/12
`