Khamis,28 Ogos 2014

Suka-suka bawa $

NURUL HALIFAH HAMIRUDDIN mencungkil kisah pahit manis mereka yang menjalankan perniagaan Internet ini.

Perniagaan Internet antara yang banyak dilakukan golongan muda. Namun bukan semua menjadikan ia sebagai satu kerjaya sebaliknya lebih kepada ‘suka-suka’ sambil memenuhi masa lapang. Tidak terkecuali yang terus jatuh cinta dan menukar hobi itu kepada kerjaya.

Apa yang dikatakan sebagai hobi? Hobi sekadar memenuhi minat serta mendapatkan keseronokan dan bukan menjurus mencari pulangan lumayan. Terdapat pelbagai jenis hobi namun hobi yang satu ini agak unik. Penulis berpeluang mendengar cerita mereka itu, daripada hanya minat, perlahan lahan membuka ‘kedai atas talian’. Hobi begini tidak semua mampu lakukan terutama yang mudah berputus asa dan tidak tahan berdepan risiko.

Bagaimanapun mereka yang berjiwa besar menjadikan ia sebagai satu kerjaya untuk jangka masa panjang dan berhasrat untuk memperkembangkan perniagaan mereka seluas mungkin.


Ramai golongan muda yang mula memasang impian untuk menjadi jutawan muda, hanya langkah dan strategi yang betul mampu membawa impian itu menjadi kenyataan.


Seperti yang kita sedia maklum, perniagaan atas talian bukan baru. Sama seperti perniagaan lain yang memerlukan modal malah kecekapan, amanah dan jujur harus ditanam pada setiap golongan muda yang ingin menjadi jutawan muda IT.

Kini, kita boleh lihat bahawa ramai golongan muda yang mencari duit poket dengan membuka perniagaan ini, semuanya mudah dan modal juga tidak terlalu besar. Menerusi perniagaan ini sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan yuran kolej, perbelanjaan seharian dan mengisi masa lapang.

Dengan keadaan negara yang menuju Wawasan 2020, penggunaan jalur lebar banyak digunakan termasuk di luar bandar, setiap golongan tidak kira tua, muda, remaja dan kanak-kanak boleh melayari Internet.

Lebih-lebih lagi apabila penggunaan telefon pintar yang semakin digilai ramai dan memudahkan orang ramai untuk melayari internet tidak kira masa dan lokasi.

Kelebihan teknologi ini dimanfaatkan ramai generasi muda untuk menceburi bidang ini. Selain itu, kelebihan membeli belah secara atas talian juga memudahkan pengguna sambil berjimat membayar tempat letak kereta, minyak dan makan minum kerana duduk bersimpuh di rumah pun boleh ‘shopping’.

Hal sedemikian juga memudahkan usahawan Internet menghantar barangan yang dipesan. Mudah bukan? Hanya perlu pilih dan hantar permintaan, semuanya di hujung jari tanpa bersesak-sesak dan berebut dengan orang lain.

Itu hanya beberapa faktor yang membuatkan orang muda meminati dunia perniagaan Internet ini. Mungkin ada sebab lain lagi sehingga sanggup menjadikannya sebagai kerjaya tetap. Apa kata mereka kepada GEN.Y.


Hobi jadi duit

“Saya menjalankan perniagaan dalam Internet ini sejak dua tahun lalu dengan menjual produk kecantikan dan kesihatan serta produk sampingan seperti Korean Lens dan pakaian wanita.

“Mulanya saya jadikan perniagaan ini sebagai hobi untuk menambahkan pendapatan kerana saya masih belajar dan tidak mahu menyusahkan ibu bapa untuk memberikan saya wang perbelanjaan.

“Selain itu, saya sendiri pengguna dan pelanggan setia Korean Lens, kemudian saya terfikir untuk memulakan perniagaan sendiri. Selepas itu saya mula mencari pembekal barangan berkenaan dan menambah jualan produk yang lain untuk variasikan lagi perniagaan.

“Minat yang mendalam membuatkan saya tertarik untuk menjalankan perniagaan ini dan ingin mengumpul duit sendiri.

“Pernah saya dituduh menjual produk tiruan hanya kerana meletakkan harga yang rendah, sedangkan bagi saya tidak perlu untung yang banyak asalkan pelanggan ramai. Walaupun persaingan tinggi namun saya percaya rezeki yang Allah berikan,” katanya.

Nama: NurSyafiqah Mustafa Ma’arof
Umur: 21 tahun
Lokasi: Kuantan, Pahang
Facebook: lens.shopperholic


Cuba dulu baru jual

“Mulanya saya jadikan perniagaan atas talian ini sebagai satu hobi namun kini ia satu kerjaya. Saya menjual produk kesihatan dan kecantikan, tiga produk utama yang saya jual adalah Virgin Coconut Oil, Vitamin C dan Fellina Inchloss Lotion.

“Saya memegang prinsip ‘cuba dulu, berkesan baru jual kepada orang lain’ dan Alhamdulillah setelah mengamalkan kesemua produk itu, saya berpuas hati dengan hasilnya.

“Masalah kesihatan seperti alahan, jerawat dan sembelit semakin lama semakin hilang dan saya juga tambah gembira apabila kebanyakan pelanggan turut berpuas hati dengan produk yang saya jual.

“Saya menjalankan perniagaan ini sejak tahun lepas secara kecilan melalui Facebook, sambutan yang sangat menggalakkan membuatkan saya ingin menjalankan perniagaan ini secara serius lalu saya membuka akaun Facebook baru khas untuk perniagaan ini iaitu Laylie Beauty Care.

“Buat masa ini, saya menjadikan perniagaan sebagai salah satu sumber pendapatan memandangkan saya masih belajar dan hasil keuntungan dapat menampung perbelanjaan di universiti. Maklumlah pelajar Sarjana, kosnya agak tinggi.

“Walaupun pada mulanya hanya sebagai hobi tetapi saya menjalankan perniagaan ini secara serius dan saya juga berniat untuk meneruskan perniagaan Internet ini selepas tamat pengajian nanti,” katanya.

Nama: Suhaili Mohd Noor
Umur: 25 tahun
Lokasi: Taiping, perak
Facebook: Laylie Beauty Care


Inovatif bersaing

“Tahun ini sudah masuk ke tahun keempat. Saya menjual cermin mata jenama Ibnusina Eyewear iaitu terapi rawatan mata yang mengambil hasil kajian ilmuan Islam zaman dulu dan hasil kajian moden oleh pakar optometris, Dr William Bates dan Dr Roberto Kaplan.

“Cermin mata ini juga membantu mengurangkan kesan rabun jauh, rabun dekat, astigmatism dan myopia dengan hanya perlu memakainya selama 15-30 minit sehari.

“Saya menjadikan perniagaan internet ini sebagai kerjaya kerana pendapatannya memang lumayan.

“Dengan adanya perniagaan ini, memudahkan pelanggan untuk membeli barang tanpa perlu ke pasar raya dan tidak perlu membazir minyak kereta, tenaga dan menjimatkan lebih banyak masa.

“Saya melakukan perniagaan Internet ini kerana tidak memerlukan kos yang tinggi untuk menyewa kedai dan sesiapa saja boleh lakukan walaupun tiada pengetahuan yang luas untuk berniaga.

“Perniagaan ini sama saja dengan perniagaan yang biasa dilakukan di luar sana yang semestinya ada pesaing. Persaingan bukan menjadi masalah malah membuatkan saya lebih berfikir secara inovatif dan idea baru bagi melariskan jualan serta memberikan keyakinan kepada pembeli untuk membeli produk saya.

“Saya juga sentiasa memberikan servis terbaik buat pelanggan seperti menghantar barang mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan.

“Untuk misi yang akan datang, saya ingin memasarkan produk ini ke luar negara selain dapat menjalinkan hubungan erat dengan pelanggan antarabangsa menerusi Internet,” katanya.

Nama: Amirul Aizad Rusli
Lokasi: Taiping, Perak
Umur: 23 tahun
Laman Web: www.eshopbiz4u.com

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/03
`