Rabu,27 Ogos 2014

‘Kami jadikan kemiskinan pendorong kejayaan’

Teks dan gambar oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

“WALAUPUN kami miskin harta, mendiami rumah pusaka usang yang sudah berusia lebih 90 tahun, itu tidak menjadi penghalang untuk anak-anak mencari ilmu dunia dan akhirat.

“Bahkan naluri saya sebagai ibu amat tersentuh apabila anak sulung kami, Nur Athirah, mengimpikan untuk memiliki kerjaya seperti pakar mata terkenal Profesor Dr Muhaya Muhamad,” ujar Norita Awang, 40, sebagai pembuka bicara pada pertemuan di rumahnya di Kampung Masjid, Beserah, Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Norita yang mengambil upah membuat kerisik menjadi pakar motivasi tidak rasmi kepada anak-anaknya demi menggalakkan anak-anaknya mencintai dunia pendidikan dan menjadi insan berjaya.

“Saya tidak mahu mereka mempunyai sikap rendah diri dan malu kerana hidup miskin sebaliknya saya terapkan dalam minda mereka supaya menjadikan kemiskinan sebagai pembakar semangat untuk berjaya.


“Saya selalu tekankan kepada anak-anak bahawa pelajaran adalah penentu kejayaan masa depan,” katanya.


Sekalipun pendidikannya setakat Sijil Pelajaran Malaysia, Norita tampak bijak dalam melontar kata-kata malah penulis melihat, wanita tabah ini mampu menjadi seorang pemidato hebat di pentas andai diberi peluang berbuat demikian suatu ketika dulu.

“Saya selalu ingatkan anak-anak walau sesukar manapun hidup, selagi tulang empat kerat ini ada, saya akan pastikan mereka tidak lapar.

“Alhamdulillah, anak-anak amat memahami kesusahan hidup kami. Mereka tidak pernah merengek minta dibeli alat mainan dan pakaian berjenama dan mahal,” katanya yang berasal dari Kampung Gong Kapas, Kuala Terengganu.

Bersama suami tercinta yang dikahwininya sejak 15 tahun lalu, Ismail Mohd Saleh, 50, dan tiga anak mereka, Nur Athirah, 13, Muhammad Izzuddin, 11, dan Nur Affiqah, 7, wanita tabah ini tidak pernah mengeluh apabila terpaksa mendiami rumah pusaka yang sudah terlalu uzur dengan lantai berlubang, dinding pecah dan bumbung bocor.

“Begitupun jika diberi pilihan, saya ingin memiliki rumah yang lebih selesa untuk anak-anak, tetapi ke mana harus kami pergi. Hendak membeli rumah baru, memang kami tidak mampu.

“Saya benar-benar tersepit, sehingga ada ketika saya tidak mampu berfikir bagaimana hendak mencari sumber kewangan yang lebih kukuh bagi membantu meringankan beban suami,” katanya hampir menitiskan air mata.

Kesukaran hidup pasangan ini terus diuji apabila anak bongsunya, Nur Afiqqah, disahkan menghidap penyakit buah pinggang dan perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) antara empat hingga enam bulan sekali.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana rawatannya tidak memerlukan perbelanjaan besar kecuali kos pengangkutan saja. Tahap kesihatannya perlu dipantau secara berterusan bimbang penyakitnya bertambah serius. Alhamdulillah, dia masih lagi aktif dan jarang demam sejak kebelakangan ini,” katanya.

Norita berkata, jika penyakit anaknya berulang yang dikenali sebagai sindrom Neprotik, dia perlu menelan sehingga 16 biji pil sehari berbanding enam biji jika keadaan normal.

“Saya sanggup buat apa saja untuk memastikannya sembuh. Biarlah kami hidup miskin tidak berharta tetapi anak dikurniakan kesihatan yang baik untuk meneruskan kehidupan jika kami berdua terlebih dulu menghadap Ilahi.

“Masa mula-mula Afiqqah dikesan penyakit ini ketika berusia lima tahun, saya berumah tangga di hospital manakala suami menjaga dua anak lagi di rumah. Kami menempuh waktu sukar yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” katanya yang sudah lama tidak pulang ke kampung kerana kekangan kewangan.

Meneruskan liku hidupnya yang serba kekurangan itu, Norita tidak betah duduk diam. Ada saja aktiviti yang dilakukan untuk mencari sumber kewangan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam ini gigih membantu suami mencari pendapatan sampingan dengan mengambil upah membuat kuih, menjadi pembantu kedai dan menjahit baju.

“Saya amat bersyukur kerana suami sentiasa mengambil berat dan mendahului keluarga dalam semua hal. Biarpun dia hanya bekerja sebagai penjaga lembu dengan upah tidak sampai RM500, saya sentiasa memberi kata-kata semangat untuknya terus bekerja tanpa memikirkan pandangan sekeliling,” katanya.

Dalam kekalutan bekerja mencari wang bagi menampung perbelanjaan harian, Norita bersyukur kerana anak-anaknya memahami situasi keluarga dan menerima seadanya kehidupan mereka.

“Athirah mendapat 4A1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan meneruskan persekolahan di sekolah agama swasta. Izzudin juga menunjukkan prestasi membanggakan dalam pelajaran malah kerap menduduki tempat terbaik di kelas dan meminati pengajian agama,” katanya.

Biarpun perlu menjelaskan yuran RM150 sebulan, Norita tidak menghalang hasrat anaknya mencari ilmu agama. Kini, anak gadisnya itu meneruskan pengajiannya di Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Basriyah, Beserah manakala Izzudin dan Afiqqah di Sekolah Kebangsaan (SK) Beserah.

“Saya gembira kerana anak-anak mencintai ilmu agama dan saya tekankan kepada mereka, ilmu agama amat penting untuk kehidupan kita dalam dunia yang sangat mencabar ini dan kita tidak tahu bagaimana keadaannya pada masa depan.

“Justeru, saya dan suami lega kerana anak sekecil itu sudah pandai mencari ‘pendinding’ bagi melengkapkan perjalanan hidup mereka,” katanya.

Wanita berjiwa kental ini tidak pernah mengaku kalah meniti kehidupannya. Walaupun miskin, dia tidak pernah meminta-minta tetapi ada ketikanya bantuan datang tanpa diduga.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada beberapa pihak yang sudi menghulurkan bantuan persekolahan, bantuan perubatan dan membantu membaiki bumbung rumah yang bocor teruk baru-baru ini.

“Semoga bantuan ini akan menguatkan semangat kami sekeluarga untuk menjalani perjalanan hidup penuh liku ini,” katanya.

Sebelum mengakhiri pertemuan lebih dua jam itu, Norita sempat berbisik kepada penulis mengenai hasratnya ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan dan membantunya mendapatkan permohonan bantuan mesin pengisar dan ketuhar gelombang bagi merealisasikan impiannya itu.

“Saya hendak berniaga, tetapi tiada modal untuk membeli peralatan. Andai ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan, saya amat berbesar hati menerimanya demi memperbaiki taraf hidup keluarga,” akuinya bersungguh-sungguh.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/10
`