Rabu,01 Oktober 2014

Suren, Gopi azam beraksi cemerlang

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Biarpun Pahang memiliki kelebihan dua gol, dua pemain tengah Tok Gajah, R Surendran dan R Gopinathan tidak mahu terlalu selesa sebaliknya berazam memperkemaskan aksi.

Surendran dan Gopinathan yang beraksi di sayap kanan dan kiri bertekad membawa Pahang ke final Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada 1997.


Bagi Surendran, ketiadaan rakan sepasukan, Mohd Hafiz Kamal yang digantung satu perlawanan tidak mengganggu tumpuan kerana rakan lain mampu memikul tugas penting itu.

Menurutnya, Amirulhadi Zainal sudah kembali dalam pasukan dan Azidan Sarudin juga berada pada tahap terbaik untuk memantapkan bahagian tengah pasukan.


“Kami harap dapat menyekat kemaraan Sarawak yang dikatakan akan kembali mempertaruhkan kapten pasukan, Joseph Kalang Tie dan pemain pertahanan berpengalaman, Ronny Harun.


“Sebab itu kami perlu lebih agresif dan memastikan jaringan mampu dilakukan untuk mencerahkan peluang ke final,” katanya.

Gopinathan pula berkata, jika prestasi terbaik seperti aksi separuh akhir pertama diulang, Pahang akan mengisi slot terakhir itu.


Namun, menurutnya, rakan sepasukan perlu fokus memandangkan Sarawak tidak akan merelakan gawang mereka dibolosi kerana akan menyempitkan peluang mereka.

“Sebagai pemain tengah, saya akan berusaha membantu jentera serangan menjaringkan gol biarpun sedar saingan getir bakal dihadapi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/24
`