Khamis,02 Oktober 2014

Syarikat tempatan, luar, sasar Pengerang

LEBIH banyak pelabur industri minyak dan gas dari dalam dan luar negara menunjukkan minat untuk melabur di Pengerang yang bakal menjadi hab minyak dan gas serantau.

Ketua Eksekutif Unit Minyak dan Gas Pejabat Menteri Besar Johor, Mohd Yazid Jaafar berkata, pelabur terbabit antaranya berminat melabur di Pengerang bagi membina kemudahan terminal simpanan minyak dan kemudahan lain di dalam sektor minyak dan gas.


“Ada beberapa syarikat minyak dan gas dalam dan luar negara yang berminat melabur di Pengerang. Kami sedang mengkajinya dan memastikan mereka mematuhi keperluan seperti Penilaian Impak Terhadap Alam Sekitar (EIA) serta Kajian Kesan Sosial.

“Kami juga perlu memastikan sama ada pelaburan mereka selaras dengan perancangan Pelan Induk Pengerang,” katanya di Johor, semalam.


Beliau berkata, jika pelabur terbabit mematuhi segala keperluan EIA dan kajian kesan sosial serta selari dengan Pelan Induk Pengerang, pihaknya tiada masalah untuk menyokong cadangan pelaburan berkenaan. Yazid bagaimanapun tidak mengenal pasti nama syarikat yang berminat melabur di Pengerang itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/05/20
`