Sabtu,20 September 2014

Tagih aksi konsisten Malik

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Penyerang muda Pahang, Abdul Malik Mat Ariff yang muncul wira apabila membantu Tok Gajah seri dengan Terengganu Sabtu lalu, tidak mahu leka dengan aksi membanggakan dipamerkannya.

Sebaliknya, pemain berusia 22 tahun itu berkata, masih banyak yang perlu dipelajari daripada rakan sepasukan terutama yang lebih senior dan dia menetapkan sasaran untuk bukan setakat berjaya di Pahang malah mahu melangkah lebih jauh dalam kariernya.


Menurutnya, dia menganggap dirinya berada pada masa yang tepat untuk menjaringkan gol penyamaan walaupun pada suatu ketika Pahang dilihat bakal pulang hampa selepas ketinggalan satu gol kepada Terengganu.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada jurulatih (Dollah Salleh) yang memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk bermain di bahagian serangan biarpun sebagai pemain gantian.


“Saya sudah membuktikan kepercayaan itu sudah disempurnakan sebaik mungkin dan kejayaan menjaringkan gol pertama dalam saingan Liga Super Sabtu lalu, saat paling manis.


“Pada masa sama, jaringan itu memastikan kami mengutip sekurang-kurangnya satu mata,” kata pemain kelahiran Beserah, Kuantan itu.

Abdul Malik yang menyarung jersi Pahang buat kali pertama musim ini penjaring terbanyak Piala Presiden musim lalu apabila menjaringkan 26 gol daripada 20 perlawanan.


Tidak hairanlah prestasi cemerlang itu membolehkan Abdul Malik dipanggil Dollah untuk membantu skuad senior Pahang musim ini.

Abdul Malik berkata, dia mahu menggunakan sepenuhnya kesempatan terhidang untuk membuktikan kemampuan diri dan berusaha meyakinkan semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14
`