Jumaat,01 Ogos 2014

Tak mahu janggal

Oleh RUDY IMRAN SHAMSUDIN

SELEPAS membawa masuk Randy Pangalila untuk membintangi drama tempatan, kini pengarah Michael Ang mengundang seorang lagi aktor popular seberang, Baim Wong untuk beraksi dalam telefilem Untuk Terakhir Kali, bakal ditayangkan di Astro Ria tidak lama lagi.

Baim bukan hanya diikat untuk membintangi telefilem terbitan Cube Film Sdn Bhd (CFSB) itu malah Michael yang juga Pengarah Urusan CFSB, berjaya mendapatkan Baim atau nama sebenar, Muhammad Ibrahim, 32, untuk beraksi dalam satu lagi drama bersiri yang dijadualkan untuk siaran tahun depan.


Ternyata luahan rasa tidak puas hati Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi mengenai keghairahan produksi tempatan mengambil pelakon luar tidak memberi kesan. Sebelum ini Zed Zaidi pernah membangkitkan isu CFSB membawa masuk Randy. Beberapa perkara turut dibangkitkan Seniman membabitkan hal berkaitan permohonan kontrak dan kebenaran daripada persatuan. Tentunya usaha Michael membawa Baim kali ini sekali lagi menimbulkan rasa kurang senang beberapa pihak terutama Seniman yang memperjuangkan hak agar bakat tempatan didahulukan.

Enggan usaha dilakukan ini dijadikan isu sekali lagi, Micheal yang ditemui di set penggambaran Untuk Terakhir Kali menegaskan, segala keperluan dan syarat diperlukan untuk membawa Baim berlakon dalam drama terbaru arahannya itu sudah dilaksanakan dan dipatuhi.


“Sewaktu Randy berlakon dalam beberapa karya yang saya hasilkan juga, CFSB sudah melakukan semua permohonan dan mematuhi syarat ditetapkan bagi membolehkan dia berlakon di sini. Perkara sama dilakukan sebaik Baim memberi persetujuan untuk membintangi Untuk Terakhir Kali.


“Saya menjemput Baim terbabit dalam produksi drama dihasilkan atas permintaan Astro. Sebagai penerbit, sudah tentu saya sebaik mungkin cuba memenuhi kehendak stesen.

“Waktu sama memang dalam drama dihasilkan ini, watak hero adalah warga seberang. Jadi mahu atau tidak, saya harus menampilkan pelakon dari Indonesia untuk menjayakan telefilem ini.


“Saya agak cerewet apabila berkarya. Sebagai pengarah, saya sebaik mungkin mewujudkan unsur ‘realism’ dalam setiap drama arahan saya agar watak ditampilkan hidup sekali gus memberi kekuatan kepada jalan cerita. “Memang saya boleh tawarkan watak lelaki Indonesia itu kepada pelakon tempatan tetapi sejauh mana mereka mampu melaksanakan watak itu dengan baik terutama membabitkan pengucapan dialog. Saya tidak mahu penonton mendengarnya berasa janggal kerana ia akan membuatkan ‘mood’ penonton hilang,” katanya.

Micheal bagaimanapun tidak menidakkan bakat yang ada di kalangan pelakon lelaki tempatan. Namun kerana aktor benar-benar berbakat tidak ramai membuatkan dia tidak punya pilihan.


“Cuba sebutkan saya siapa pelakon lelaki yang benar-benar bagus dan mampu berlakon dengan baik. Rasanya tidak ramai dan kita boleh bilang dengan jari. Waktu sama, mereka yang bagus ini pula sibuk dengan jadual lakonan,” katanya.


Jelas Micheal, dia tidak faham mengapa produksi CFSB sering dijadikan sasaran apabila mengundang pelakon luar untuk membintangi telefilem, drama bersiri mahupun program khas dihasilkan, sedangkan produksi lain yang menghasilkan projek besar tidak pula dijadikan isu atau ditempelak. “Saya rasa kemasukan pelakon luar terutama dari Indonesia adalah perkara biasa. Tambahan pula, bidang ini sejagat di mana mereka mempertaruhkan bakat. “Mengambil contoh mudah, berapa ramai pelakon berbakat hebat dari Britain yang menjadi pilihan produksi gergasi di Hollywood untuk membintangi filem dihasilkan? “Kita melihat pelakon Indonesia yang datang ke sini sebagai satu ancaman sedangkan ramai yang tidak sedar bahawa beberapa pelakon tempatan sudah mencipta nama di seberang. Ambil contoh, Miller, Keith Foo dan Ashraf Sinclair yang kini berupa antara pelakon popular di sana dan bakat mereka turut dikagumi. “Sepanjang berada di sana, tidak ada orang membangkitkan isu dari mana mereka datang. Lagipun pelakon Malaysia tetap menjadi pilihan sekiranya jalan ceritanya memaparkan orang tempatan dan mereka tidak mengambil artis Indonesia untuk berbahasa Melayu. Perkara sama juga saya lakukan untuk drama terbitan CFSB,” katanya.


Tegas Micheal, dia tidak ambil pusing apabila ada pihak cuba menjadikan usahanya itu sebagai satu isu dan boleh menjejaskan tumpuannya untuk berkarya. Penerbit dan pengarah drama bersiri Dalam Hati Ada Taman yang sedang disiarkan menerusi Astro Ria ini menjelas, sebaiknya kehadiran pelakon berbakat besar dari seberang dalam industri penerbitan tempatan dilihat sebagai satu perkembangan sihat apabila kedua-dua pihak boleh berkongsi ilmu dan belajar untuk memperbaiki bakat masing-masing.


Untuk Terakhir Kali diangkat dari lagu dendangan asal Marsha Milan Londoh, mengisahkan cinta seorang suami warga seberang terhadap isterinya orang tempatan. Dalam membina kebahagiaan hidup berumah tangga, banyak rintangan harus dilalui mereka hanya kerana beza kerakyatan. Jelas Micheal, dia mula mengenali Baim selepas menyaksikan sinetron lakonannya, Benci Bilang Cinta dan melihat sepanjang ia ditayangkan di sini, ramai menggemarinya sehingga pelakon asal dari Jakarta itu digilai ramai masyarakat di sini. Selain Baim, turut membintangi Untuk Terakhir Kali ialah Elfira Loy, Hairuz Azreen dan Faralyna.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/15

Artikel Lain

`