Rabu,19 Februari 2014

Taman tasik ‘port’ maksiat

Oleh Mohd Khidir Zakaria

PORT DICKSON: Kawasan perumahan tersusun dengan prasarana serba lengkap menjadikan Bandar Springhill, di sini, sebuah penempatan idaman bagi setiap keluarga.

Bagaimanapun, kelebihan dimiliki sedikit tercalar akibat tindakan segelintir individu termasuk remaja menjadikan Taman Tasik Bandar Springhill sebagai ‘port’ melampiaskan nafsu dan melakukan perbuatan tidak bermoral.


Metroplus difahamkan, pihak berwajib dan penduduk setempat kerap melakukan rondaan di taman itu dan kerap menahan remaja sedang ‘berseronok’.

Antaranya, mereka mengesan wujud kegiatan meminum minuman keras apabila terdapat botol arak bertaburan di kawasan itu.


Pengawal keselamatan, S Muniandy, 45, berkata, aktiviti tidak bermoral itu sudah lama berlaku dan dia kerap terserempak dengan perlakuan memalukan segelintir remaja dengan mendakwa kebanyakan mereka daripada luar kawasan perumahan berkenaan.


“Ada kalanya mereka datang berkumpulan dan apabila keadaan ‘selamat’ mereka akan mencari ‘port’ untuk melakukan adegan seterusnya. Pernah juga saya dimaki hamun kerana dikatakan mengganggu kegiatan mereka.

“Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan rondaan lebih kerap di kawasan taman tasik ini supaya kegiatan remaja bermasalah ini dapat dibendung,” katanya.


Tinjauan juga mendapati lampu jalan dan di sekeliling tasik tidak berfungsi dan keadaan itu dipercayai memudahkan kegiatan tidak bermoral dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Tidak dapat dipastikan apakah lampu jalan rosak atau memang sengaja tidak dihidupkan pemaju perumahan, tetapi jika keadaan itu berterusan pasti menyulitkan keadaan dan menjejaskan imej kawasan sekitar yang cantik apatah lagi terdapat sebuah masjid dan universiti berhampiran yang dalam pembinaan.


Seorang sukarelawan tempatan, Murizan Mohammad, 35, berkata, dia sering terbabit operasi menahan pasangan remaja sedang melakukan perbuatan tidak bermoral di taman itu.


“Kebanyakan mereka yang melakukan perbuatan sumbang ini adalah remaja dari luar kawasan ini. Namun, ada juga anak penduduk di sini yang kami tangkap dan diserahkan kepada pihak surau untuk diambil tindakan.


“Pernah satu ketika apabila kami maklumkan kepada keluarga mereka, akhirnya kami pula dipersalahkan kononnya tindakan kami hanya memalukan mereka,” katanya.


Menurutnya, sebagai sukarelawan dia hanya menjalankan tanggungjawab demi agama di samping tidak mahu kawasan taman terus tercemar dan menjadi lokasi remaja melakukan maksiat.


“Masalah sosial kalangan remaja ‘ibarat duri dalam daging’ dan jika tidak dibendung pasti mendatangkan masalah kepada penduduk setempat.


“Kami juga berharap PBT mengadakan rondaan lebih kerap lagi di kawasan ini. “Pemaju juga disarankan meletakkan pengawal keselamatan dan menyalakan lampu ketika malam. Sayang sekali, tempat yang cantik, tetapi jika tidak diselenggara dengan baik akan merosakkan pandangan mata,” katanya.


Bagi pesara tentera, Khamis Kasbin, 60, berkata, masalah remaja ‘terlampau’ sejak sekian lama amat memalukan dan perlu segera ditangani.


Katanya, dia dan beberapa penduduk turut mengadakan rondaan tetapi kerana kekangan masa aktiviti itu tidak dapat dijalankan selalu.


“Kami mengharapkan pemaju tidak terlepas pandang permasalahan sosial remaja di sini kerana imej Bandar Springhill sebagai ‘Bandar Pendidikan’ akan tercemar.


“Perbincangan untuk mengatasi masalah ini boleh dilakukan dengan kerjasama Persatuan Penduduk Bandar Springhill dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) kawasan Port Dickson,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Surau Al-Hijrah, Bandar Springhill.


Sementara itu, Pegawai Penguat Kuasa Mains Port Dickson, Md Isa Rosdi, berkata, pihaknya kerap menerima aduan kejadian maksiat di Taman Tasik Bandar Springhill khususnya membabitkan remaja Melayu dan beragama Islam.


“Bila pihak kami membuat operasi bersama PBT dan penduduk, pelaku maksiat ini dapat meloloskan diri kerana kawasan taman tasik ini besar dan banyak laluan keluar masuk. “Pihak kami amat berharap penduduk setempat membuat rondaan lebih kerap dengan menubuhkan Rukun Tetangga (RT) bagi mengekang gejala maksiat daripada berleluasa di kawasan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/14

Artikel Lain

`