Tanam sayur selepas gantung but

Tanam sayur selepas gantung but

Oleh Mohd Amin Jalil
am@mediaprima.com.my


Siapa sangka bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan, Mohd Khaidir Mohd Dom, 39, kini bergelar pembekal sayur-sayuran terkenal menerusi Projek Nur Kasih Agro.

Dia mengusahakan projek itu di tanah seluas 10 hektar di Kampung Pelebar Dalam Pilin, Rembau, Negeri Sembilan dan mampu memperoleh pendapatan bersih lebih RM20,000 sebulan.

Selain pasaran tempatan, sayur yang dihasilkan turut dihantar ke pasar besar di sekitar Kuala Lumpur.

Berbekalkan modal RM200,000, Mohd Khaidir memulakan projek pertanian besar-besaran itu pertengahan 2009 sebaik ‘menggantung but’ pada akhir 2007.

Dia mengusahakan projek itu di kawasan tanah terbiar milik ahli keluarga dengan sebahagian lain disewa daripada pemilik tanah.

“Mulanya saya tidak terfikir untuk membabitkan diri dalam projek pertanian sebaik menamatkan karier bola sepak, tetapi selepas menimbangkan cadangan ahli keluarga, saya memberanikan diri.

“Walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam pertanian, saya mahu mencuba sesuatu yang baru,” katanya ketika ditemui di ladangnya, baru-baru ini.

Pada mulanya, dia hanya menanam kacang panjang di kawasan seluas dua hektar sebelum meningkat dengan tanaman terung, bendi, timun dan cili padi sebaik menyertai Projek Ladang Kontrak FAMA.

Usahanya meluaskan tanaman itu membuahkan hasil apabila semua projek itu menjadi dan mengeluarkan kira-kira 45 tan bagi setiap kali tuaian.

Beliau adalah bekas pemain bola sepak pertama di negara ini membabitkan diri dalam bidang itu dan mengakui mendapat sokongan FAMA.

Dia turut dibantu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS).

“Ilmu pengetahuan dan bimbingan diberikan JPNS banyak membantu saya dalam menguruskan ladang secara sistematik dengan mengurangkan bahan kimia.

“Menerusi Amalan Ladang Baik Malaysia (SALAM), sayur-sayuran yang saya keluarkan mendapat pengiktirafan JPNS kerana selamat dimakan,” katanya.

Menurut bapa kepada empat anak berusia antara 12 hingga 21 tahun ini, Program Pengukuhan Bekalan Melalui Ladang Kontrak terus ke Pasar Tani mempermudahkan aktiviti pemasaran dijalankan.

“FAMA memberikan kita kebebasan melakukan aktiviti pemasaran dan kebanyakan hasil ladang ini dihantar terus ke pasar besar seperti Pasar Besar Selayang,” katanya.

Beliau bersyukur kerana projek itu berjaya dan terus mendapat permintaan tinggi.

“Saya menghargai sokongan pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang memberi semangat memajukan projek itu.

“Saya bersyukur usaha selama ini membuahkan hasil dan berazam untuk membesarkan lagi projek ini,”katanya.