Ahad,13 Julai 2014

Tangga moden guna motif bulat

Susunan Hartini Mohd Nawi

REKA bentuk anak tang–ga moden untuk kediaman jenis apartmen yang diilhamkan arkitek Biljana Jovanovic amat mencuri perhatian dunia.

Menurut Biljana, rekaan berkenaan hakikatnya untuk sebuah keluarga muda, kreatif dan mempunyai dua anak selain baru mengubah suai apartmen yang terletak di bawah tapak warisan dunia Unesco, Buda Castle itu.

“Saya cuba menghormati suasana sejarah bangunan dan apartmen, tetapi turut memberikan sentuhan moden berdasarkan keperluan gaya hidup dan penggunaannya.

“Rekaannya menggunakan motif bulat dan separuh bulat selain kelihatan seperti lubang keju menyebabkan binaan itu dikenali sebagai Emmental Staircase,” katanya yang berasal dari Croatia, tetapi berpusat di Budapest, Hungary itu.


Malah, tangga itu membahagikan ruang terbuka antara ruang tamu dan ruang makan dengan kesinambungan idea hiasan dalaman yang unik.


Tanpa mengasingkan ruangan ini, reka bentuk tangga itu mempunyai kaitan dengan ruang di sekitarnya.

Menerusi lubang bulat, tangga kelihatan bagaikan potongan dan keju sebenar dengan idea reka bentuk yang dikaji secara terperinci.

Keunikannya itu membolehkan sistem pengaliran udara dan cahaya matahari sempurna.

Ketika siang, cahaya matahari yang menembusi lubang bulat itu memberikan sudut pandangan menarik.

Pelbagai pendekatan diperincikan untuk meningkatkan keseronokan kanak-kanak ketika menggunakannya.

Pemisahan antara kepingan anak tangga itu pula menambahkan perspektif yang berbeza pada ruang, sekali gus membuktikan gerak kerja hebat.

Menariknya tangga itu turut berfungsi sebagai alat permainan si kecil kerana direka bercirikan keselesaan dan mesra pengguna.

Binaan itu membolehkan si kecil bebas menggunakannya termasuk bermain, berjalan, bersembunyi dan meletakkan kepala pada lubang bulat yang menjadi motif tangga berkenaan.

Kehadiran Emmental Staircase itu mendorong kanak-kanak berimaginasi dan membangunkan kreativiti mereka.Reka bentuk segi tiga tangga itu juga turut memperlihatkan sentuhan moden ditambah dengan pilihan warna putih sebagai kemasannya.

Disebabkan kekangan teknikal, keadaan tangga yang sedikit curam bukan masalah besar kerana ia hanyalah rekaan unik penuh kelainan dengan setiap sudut saling mengimbangi.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/11/11
`