Ahad,13 Julai 2014

Terus ghaib bila muflis

Oleh Hayati Ibrahim

PUTRAJAYA: Akibat malu dan takut, hanya 20 hingga 30 peratus daripada 242,846 individu muflis tampil mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Insolvensi, manakala selebihnya menghilangkan diri, kata Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan (BePU) Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahadan.

Menurutnya, statistik menunjukkan 20 peratus mereka yang muflis dalam lingkungan usia 25 hingga 34 tahun, 35 hingga 44 tahun (34 peratus) dan 45 hingga 54 tahun (26 peratus).


“Hanya segelintir yang muflis berani datang ke Jabatan Insolvensi, selebihnya hilang dan tidak berani datang, akibatnya mereka ini menyusahkan diri, tak boleh buka akaun bank dan tidak boleh bekerja.

“Ini bermakna, ramai orang muda bila dimufliskan tidak tahu jalan keluar atau tidak mesra Jabatan Insolvensi, jadi dia habiskan separuh usia hidupnya dalam ketakutan, padahal mereka ada peluang menyelesaikan isu ini,” katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai dan kakitangan di Jabatan Insolvensi di sini, semalam.


Justeru, bagi membantu golongan terbabit, Sohaimi berkata, Pemuda Umno memperkenalkan blog, laman sosial facebook dan twitter mengenai ‘Muflis Peluang Kedua’ minggu depan, selain mengadakan satu forum mengenainya pada Januari ini.


Menurutnya, pendekatan itu sebagai platform kepada orang ramai menyalurkan pandangan dan idea mengenai kajian semula dan pindaan Akta Kebankrapan 1967 seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

“Saya percaya pindaan semula akta ini membolehkan ramai pihak yang muflis menarik nafas lega. Pindaan ini bukan bermakna kita tidak adil pada bank atau mereka yang muflis, tapi ada beberapa perkara tidak relevan pada zaman ini perlu dikaji semula.


“Paling penting saya menegaskan had muflis perlu dinaikkan sekurang-kurangnya kepada RM100,000, kedua saya juga mencadangkan mereka yang dimufliskan diberi kelonggaran ke luar negara atas apa-apa urusan sama ada menunaikan haji atau umrah dengan tidak meletakkan sebarang deposit kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, cadangan pindaan lain termasuk perbelanjaan kos keluar daripada muflis perlu ditanggung kedua pihak iaitu mereka yang dimufliskan dan mereka yang memufliskan individu terbabit.


“Kita juga cadangkan mereka sudah terkeluar daripada senarai muflis dihubungkan secara terus dengan Bank Negara supaya nama mereka dikeluarkan terus dari senarai hitam kerana ada kes mereka yang terkeluar dari senarai masih disenarai hitam di bank kerana tiada hubungan terus dengan pihak bank,“ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/11
`