Khamis,13 Februari 2014

Tiada tersingkir

Semakin meningkat usia, lagi terserlah bakatnya. Itulah yang boleh dikatakan mengenai persaingan mantap dipersembahkan 10 peserta pertandingan Kilauan Emas 3 (KE3) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam Rabu lalu.

Dengan ‘tagline’ Otai Masih Berbisa, barisan peserta yang berentap seperti Mohd Khairuddin Ja’affar atau Din, 41, dari Johor, Idris Mohd Shabidin, 51, (Kedah), Silahuddin Ali, 52, (Johor), Ed Masvera Masri, 52, (Johor) dan Mior Yazid Ahmad, 44, Selangor, Alina Hassan, 45, dari Kuala Lumpur, Jamaliah Saadun, 41, (Selangor), Sarimah Sulaiman, 41, (Negeri Sembilan), Jasrina Jaafar, 43, (Kedah) dan Rosiah Satiman, 61, (Johor) berjaya memberikan persembahan menghiburkan.

Diadili juri profesional iaitu pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS dan penyanyi popular, Ziana Zain dengan menampilkan Nash sebagai juri jemputan, penilaian markah peserta diwakili sebanyak 70 peratus.

Manakala, markah undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) juri awam pula mewakili 30 peratus. Pun begitu, hadiah lumayan menanti pemenang bertuah iaitu RM50,000 untuk juara, kereta Nissan X-Trail dan trofi.


Pemenang tempat kedua pula bakal membawa pulang wang tunai RM30,000 dan ketiga, RM15,000. Bagaimanapun, pada konsert pertama yang berlangsung kelmarin, tiada penyingkiran peserta dilakukan sehinggalah konsert ketiga nanti.


Apapun, persembahan Alina pastinya antara yang menjadi perhatian penonton dengan lagu I Will Survive dendangan asal Gloria Geynor. Apatah lagi, Alina pernah bergelar juara dalam salah satu program pencarian bakat pada 1996.

Namun, kerjaya seni Alina tidak lama apabila dia mengambil keputusan mengundur diri dengan memberi tumpuan menguruskan keluarga selepas mendirikan rumah tangga bersama seorang guru.

Alina berkata, dia menyertai KE3 selepas mendapat sokongan padu daripada keluarga yang sedia menyokongnya.

“Saya melihat ia sebagai platform terbaik untuk membuat kemunculan semula di pentas seni suara selepas sekian lama menyepi. Saya juga bercadang mahu tampil dengan single baru. Apapun, saya tidak menaruh harapan besar untuk muncul juara dalam pertandingan ini. Persaingan daripada peserta yang berentap juga agak sengit dan hebat. Masing-masing di antara kami ada kehebatan tersendiri,” katanya.

Menurut Alina lagi, apa yang pasti dia akan berusaha menampilkan persembahan terbaik pada setiap minggu serta saingan mantap.

Dihoskan penyampai radio popular, Raja Azura, antara lagu menjadi pilihan peserta pada konsert pertama ialah Rina mendendangkan Matahariku nyanyian asal Agnes Monica, diikuti Edy yang memilih lagu Di Alam Fana Cinta (Fotograf).

Selain itu, Din tampil dengan lagu Juwita (Saleem), Ros (Satu Dua Kau - Salwa Abdul Rahman), Silah (Hotel California - The Eagles), Seri (Tegar - Rossa), Idris (Seni Berzaman - To’ki), Mior (Potret Monalisa- Wings) dan Malia (Samar Bayangan - Nicky Astria).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/29
`