Khamis,24 Julai 2014

Tiga remaja maut bertembung lumba haram

KUALA TERENGGANU: Tiga remaja terbunuh, seorang daripadanya hampir putus kepala selepas terbabit kemalangan ketika mereka dipercayai berlumba haram di kawasan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang belum dibuka di Kampung Bukit Guntong, Tepoh di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, Solihuemi Harun, 16, dari Kampung Hulu Jeram, Tepoh maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan manakala dua lagi, Mohd Abd Rahman Jusoh, 20, dari Kampung Raja dan Mohd Firdaus Mohd Nawi, 20, dari Kampung Sungai Ikan, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat cedera parah.


Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Alias Hashim, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila dua motosikal ditunggang mangsa bergesel, sebelum dirempuh motosikal ketiga ditunggang seorang lagi mangsa.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa menyertai perlumbaan haram bersama sekumpulan remaja lain dianggarkan 12 orang di lebuh raya berkenaan yang belum dibuka kerana masih dalam pembinaan ketika umat Islam lain sibuk menyambut Aidiladha dan melakukan ibadat korban.


“Mangsa dikatakan menunggang motosikal masing-masing pada kelajuan maksimum sambil melakukan aksi berbahaya sebelum bertembung. Siasatan mendapati dua mangsa yang terkorban tidak memakai topi keledar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2010/11/19
`