Sabtu,23 Ogos 2014

Timba ilmu flora

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Suasana di Taman Botani Putrajaya pada 18 Mei lalu kecoh dengan gelagat beberapa kumpulan anak muda memakai baju T berwarna jingga berlari ke sana sini, seolah-olah mencari sesuatu yang sangat mustahak.

Pada masa sama, kelihatan beberapa peserta memegang fail dan kertas mewakili kumpulan masing-masing bergerak secara berkumpulan dan meneliti setiap pokok yang mempunyai tanda nama di taman itu.

Ada juga yang sibuk mencari papan tanda tertulis nama saintifik tumbuhan di persimpangan lorong dan laluan taman sambil tersenyum selepas berjaya menjawab soalan bertulis.

Itu antara gelagat peserta Program Green Education Explorace (EDURACE) anjuran pelajar Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran) Pengajian Separuh Masa Universiti Teknologi Malaysia (UTMSPACE) Kuala Lumpur di Taman Botani Putrajaya.

Foto

PESERTA mendengar taklimat sebelum pelepasan.

Foto

PESERTA sibuk mencari jawapan di Taman Botani Putrajaya.


Peserta, Zaizilatul Sheyrin Zainal Abidin, 26, berkata, dia terpanggil menyertai program itu selepas dipujuk kakaknya dan menyifatkan program EDURACE sangat bermanfaat kerana dapat meningkatkan semangat kecintaan terhadap pemeliharaan alam sekitar.


“Ini kali pertama saya menyertai program bertemakan pokok dan saya berpendapat program ini memberi peluang kepada peserta mengetahui spesies pokok, termasuk tumbuhan herba di negara ini.

“Walaupun sukar kerana perlu mencari nama saintifik tumbuhan yang langsung tidak pernah didengar sebelum ini, setiap peserta sangat seronok dan berlumba-lumba mencari jawapan,” katanya.

Kakitangan swasta, Fakri Noor Ramli, 24, berkata, dia terpanggil menyertai program berkenaan selepas menerima pelawaan rakannya yang mencari ahli kumpulan dalam aktiviti itu.

“Program ini bukan saja sebagai platform kepada peserta mendalami ilmu pengetahuan serta meningkatkan semangat kecintaan terhadap tumbuhan, tetapi satu daripada cara menghilangkan tekanan dan penat bekerja.

“Dengan suasana lokasi penganjuran yang sangat mendamaikan, sudah pasti ia dapat melupakan tekanan kerja. Tatkala melangkah kaki ke Taman Botani Putrajaya, saya hanya fikirkan mahu menjawab soalan sehingga tamat dan menenangkan fikiran melihat pokok di sini,” katanya.

Pengerusi program, Nurhana Azhar berkata, program yang mendapat penyertaan penduduk di sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan itu diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenali dan mempelajari mengenai kepentingan flora.

“Melalui program ini, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan serta diberikan tempoh dua jam untuk menjawab soalan, semuanya berkaitan tumbuhan di taman berkenaan.

“Sepanjang tempoh dua jam itu, peserta berpeluang berinteraksi, berkomunikasi dan berkongsi maklumat mengenai tumbuhan seperti flora dan herba yang ada ditanam di Taman Botani Putrajaya,” katanya.

Nurhana berkata, pemilihan Taman Botani Putrajaya sebagai lokasi penganjuran program EDURACE sangat sesuai kerana di taman itu ada lebih 700 spesies tumbuhan ditanam.

“Justeru, pemilihan lokasi ini dapat menyokong dan menyemai semangat kecintaan masyarakat kepada tumbuhan yang menjadi habitat kepada hidupan lain.

“Kita berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran peserta dalam menghargai keindahan alam yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kepada semua untuk memuliharanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08