KUALA LUMPUR: Pendedahan Harian Metro mengenai kegiatan seorang penganggur dipercayai memperdaya lebih 40 syarikat dan individu membabitkan kerugian hampir RM5 juta membongkarkan lebih banyak rahsia mengenai penipu berusia 50-an itu.
Dia dikesan sudah menjalankan kegiatannya sejak 2003 dengan menggunakan helah sama kononnya mempunyai pengaruh dalam pelbagai projek kerajaan membabitkan puluhan jutaan ringgit dan sedang berusaha mencari subkontraktor yang berminat untuk menjalankan kerja-kerja sampingan projek berkenaan.
Pada 2003, lelaki itu dikatakan menjalankan penipuan bersama adiknya yang juga kakitangan awam selain menggunakan pejabat adiknya untuk menandatangani kontrak bagi menunjukkan semua urusan itu sahih serta menjanjikan keuntungan lumayan.
Apa yang mengejutkan mengenai lelaki itu, dia mampu mengemukakan semua dokumen sulit kerajaan termasuk butiran pembinaan secara terperinci sekali gus membuktikan dia mempunyai hubungan dengan ‘orang dalam’.
Presiden dan Penasihat Undang-Undang Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr Jacob George berkata, selepas Harian Metro melaporkan kegiatan lelaki itu yang aktif menipu kononnya sebagai ‘orang dalam’ projek pembinaan landasan kereta api berkembar Seremban-Gemas, Negeri Sembilan, seorang peguam tampil mendakwa turut kerugian sebanyak RM500,000 pada 2003.
“Mangsa yang berusia 40-an itu mendakwa ditipu selepas dilantik lelaki berkenaan untuk melabur bagi menjalankan kerja subkontraktor projek naik taraf jalan dari Seremban ke Senawang malah bagi meyakinkan peguam itu perjanjian bertulis mengenai keuntungan turut disediakan.
“Mangsa yang ditemui berkata dia yakin dengan lelaki itu kerana dokumen yang ditunjukkan memang sahih dan sulit, malah adik lelaki itu turut memegang jawatan penting di sebuah jabatan yang terbabit dengan projek itu,” katanya yang ditemui semalam.
Beliau berkata, mangsa yang menyedari sesuatu tidak kena apabila tiada sebarang keuntungan selepas beberapa malah suspek memberi pelbagai alasan tidak munasabah bagi mengelak membayar balik wang berkenaan.
“Akibatnya, peguam terbabit diisytihar muflis serta ditarik lesen guamannya, malah terpaksa menjual rumah bagi membayar kembali wang beberapa individu yang melabur dalam projek dijanjikan,” katanya.
Dr Jacob berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah pada Ogos 2006 berhubung penipuan itu, tetapi sehingga kini masih tiada perkembangan mengenai kes berkenaan.
Menurutnya, selain peguam itu, ada beberapa lagi mangsa yang tampil ke pejabatnya mengadu menjadi mangsa penipuan membabitkan kerugian hingga RM7 juta.
“Kami sudah kenal pasti suspek dan akan berhubung dengan pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.
Harian Metro 3 Julai lalu melaporkan, seorang penganggur dipercayai memperdaya lebih 40 syarikat dan individu membabitkan RM5 juta dengan menawarkan mangsa menjadi subkontraktor bagi pembinaan landasan kereta api berkembar Seremban-Gemas, Negeri Sembilan.
NILAI: Seorang perompak berjaya melarikan wang tunai berjumlah kira-kira hampir RM80,000 dalam satu ...