Sabtu,02 Ogos 2014

Uniknya Lemang Periuk Kera

Oleh Samsudin Awang

RESIPI unik Lemang Periuk Kera yang popular sebagai sajian tradisional di sekitar pedalaman negeri Pahang, mendorong kumpulan pelajar Jurusan Hotel dan Katering Kolej Komuniti Rompin membangunkan makanan itu sebagai produk komersial.

Di samping keenakan rasanya di dalam kelopak tumbuhan periuk kera, resipi berkenaan juga dijangka mampu menjadi satu lagi produk tarikan pelancongan jika mampu dikomersial dan dihasilkan secara berterusan.

Keunikannya mencer­min­kan budaya dan warisan masyarakat Melayu di Pahang serta menonjolkan kepelbagaian flora di negara ini khususnya spesies periuk kera yang tumbuh melata
di hutan negeri berkenaan.

Kreativiti kumpulan 12 pelajar program Sijil Jurusan Hotel dan Katering di kolej itu dalam memberi inovasi kepada resipi berkenaan ternyata membuka potensi baru kepada warisan tradisional penduduk setempat.

Ketua projek, Mohd Adib Mohd Arif, 23, berkata, idea berkenaan dicetuskan kalangan ahli kumpulannya kerana resipi itu begitu popular bagi penduduk tempatan sekitar pedalaman Daerah Rompin.

Beliau yakin terhadap sambutan serta gembira dengan idea baru dicetuskan itu dan sebulat suara bersetuju menghasilkan resipi berkenaan, selain mahu membuktikan generasi muda juga peka dan menyokong warisan tradisional.

“Bagaimanapun, ia tidak dihasilkan secara komersial untuk memenuhi permintaan pelanggan, sebaliknya hanya terhad untuk hidangan peribadi serta keluarga saja terutama pada musim perayaan atau majlis keramaian tertentu.

“Permintaannya amat tinggi kerana keunikannya yang meng­gunakan periuk kera sebagai kelongsong lemang. Spesies tumbuhan berkenaan memang terkenal sebagai flora tarikan pelancongan di negeri ini.

“Ia menyebabkan ramai pelancong sentiasa berminat untuk merasai keenakan lemang periuk kera sekiranya mereka berpeluang menikmatinya, namun ia tidak banyak dihasilkan penduduk tempatan,” katanya.

Antara faktor resipi itu kurang dikomersialkan kerana tidak dapat bertahan lama memandangkan penggunaan santan kelapa boleh mempercepatkan ia basi.

Bagaimanapun, hasil inovasi kumpulan berkenaan melalui kaedah mengukus serta penyediaan nisbah campuran air, santan kelapa, pulut serta pemilihan periuk kera sesuai berjaya memanjangkan tempohnya hingga empat atau lima hari.

Kumpulan pelajar berkenaan menyediakan resipi lemang periuk kera hanya menggunakan periuk kera daripada jenis cawan atau nama saintifiknya nepenthes ampullaria berbanding 38 jenis periuk kera lain yang tidak sesuai.

Berbeza dengan kaedah penyediaan lemang buluh, lemang periuk kera menggunakan kaedah kukus stim manakala santan hanya dituangkan dengan pulut di dalam setiap periuk kera selepas ia panas di dalam wap stim sebagai satu kaedah mencegahnya daripada basi.

Isteri Menteri Besar Pahang, Datin Seri Diraja Junaini Kassim ketika mencuba resipi berkenaan berkata, usaha kumpulan pelajar itu perlu diteruskan pihak lain kerana mencerminkan keunikan tradisi Pahang.

“Ia bukan saja membuktikan kreativiti dan inovasi golongan muda mengetengahkan resipi tradisional, malah memberi peluang masyarakat mencuba resipi kurang diketahui ramai itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/02/06
`