Rabu,23 Julai 2014

Usah ambil mudah bab makan

Cari makan. Demikian rutin kehidupan manusia, tidak kira waktu pagi, petang, siang, malam atau tengah malam. Sesetengah orang, pada Syawal ini makanan bertambah-tambah, bahkan tak habis pun nak makan.

Disebabkan makanan itu banyak, dimakannya juga sampai hidup dah jadi hanya untuk makan. Sebab itu, ada sesetengah orang sudah tidak peduli lagi sama ada makanan itu halal atau haram.

Bagaimanapun, orang beriman makannya untuk hidup dan bukannya hidup untuk makan. Jawapan mengenai hidup untuk makan atau makan untuk hidup berkait rapat dengan keimanan dan kepercayaan seseorang.

Adakah dunia ini satu-satunya kehidupan atau di sana iaitu selepas kematian pasti ada alam lain yang kekal abadi? Mereka yang kufur hidup untuk makan kerana tidak percaya kepada alam abadi selepas mati di dunia.


Ini diterangkan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang yang kafir makan dan minum serta berseronok sebagaimana berseronoknya binatang dan nerakalah tempat kembali mereka.”


Realitinya, tanpa kita sedari kebanyakan manusia hidup untuk makan. Bukan lagi makan untuk hidup!

Malah, ada manusia sanggup membunuh demi mendapatkan sesuap makanan untuk mengisi perut yang lapar.

Manusia tidak lagi memikirkan dosa membunuh yang pasti akan diterima selepas mati. Manusia sanggup menipu, menindas, mencuri, meragut, merompak dan menyamun kerana mahu makan asalkan dapat makan.

Sepanjang waktu manusia ‘berperang’ untuk mendapatkan tanah subur yang boleh membekalkan mereka bahan makanan harian.

Allah memerintahkan manusia untuk mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram menerusi firman-Nya bermaksud: “Wahai orang beriman, makanlah makanan halal yang kami kurniakan kepada kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 172)

Perintah yang sama juga ditujukan kepada Rasul-Nya menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Wahai sekalian Rasul, makanlah daripada makanan yang baik (halal) dan lakukanlah amalan solihin.” (Surah al-Mukminin, ayat 51)

Halal dan haram itu adalah ketetapan Allah yang menciptakan manusia bagi menguji sejauh mana ketaatan mereka kepada Pencipta.

Beruntunglah mereka yang berjaya merentasi ujian itu.

Sementara bagi mereka yang gagal pasti ke neraka menjadi makanan api yang tersedia marak membara.

Justeru, adakalanya manusia diuji dengan sedikit ketakutan dan kelaparan. Allah berfirman yang bermaksud: “...dan Kami pasti akan uji kamu dengan sedikit rasa takut, rasa lapar, kekurangan harta, kekurangan nyawa dan kekurangan buah-buahan. Berilah khabar gembira kepada orang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Orang yang bersabar ialah orang meyakini wujudnya hari pembalasan. Justeru, Allah menjelaskan dalam ayat seterusnya bermaksud: “Iaitu mereka yang apabila ditimpa musibah mereka menyatakan: ‘Kita milik Allah dan kepada-Nya kita pasti kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 156)

Namun, orang yang tidak sabar pasti gagal dalam ujian. Berapa ramaikah manusia yang mampu bersabar menghadapi ujian ini? Perut lapar yang perlu diisi menjadikan manusia lupa dia akan mati.

Dia lupa segala perlakuannya akan dihitung serta dipertanggungjawabkan. Malah, dia lupa pada seksaan Allah iaitu pohon zakkum yang berduri sebagai makanan dan air panas menggelegak sebagai minuman orang yang berdosa.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya pohon zakkum adalah makanan orang yang berdosa seperti air panas yang menggelegak di dalam perut.”

Jadi, bagaimana dengan kita? Bersediakah untuk ke neraka? Tentu jawapannya tidak, bahkan semuanya mahu ke syurga.

Penutup tazkirah pada kali ini penulis ingin sentuh sedikit berkenaan fenomena hidup orang kita yang sudah tidak peduli lagi di mana mereka makan.

Bagaimana keadaannya jika ada segelintir kita yang pergi menikmati makanan di restoran bukan Islam? Mereka tidak kira soal halalan toyyiban kerana yang penting ialah enak untuk dinikmati.

Adakah kita sanggup memperjudikan keimanan kita? Adakah kita fikir orang bukan Islam itu sanggup menjaga prinsip agama kita, sedangkan ia jauh berbeza dengan prinsip agama mereka?

Adakah kita mahu mereka tolong menjaga agama kita? Adakah mereka sanggup bersusah hanya kerana kita atas alasan mahu memastikan kita makan makanan halal?

Fikir-fikirkanlah. Apalah sangat selera yang didorong nafsu sehingga kita mengambil mudah semua ini? Rasanya soal makan kita di Malaysia ini belum sampai ke tahap darurat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/10