JENTERA konsep Volvo XC60 Plug-in Hibrid adalah satu-satunya jenama kenderaan mewah yang dikeluarkan Volvo berkonsepkan kenderaan elektrik dan hibrid.
Kenderaan yang diperkenalkan pada Pameran Antarabangsa Auto Amerika Utara, Detroit, Amerika Syarikat, baru-baru ini mampu memelihara alam sekitar walaupun jentera berkenaan menghamburkan 350 kuasa kuda (hp).
Hanya dengan satu sentuhan butang, pemandu boleh merasai prestasi kombinasi enjin dengan motor elektrik dengan tiga pemanduan iaitu mod tulen, mod hibrid dan mod kuasa.
Dalam mod tulen, kuasa kereta bergantung sepenuhnya kepada motor elektrik yang boleh mencapai jarak perjalanan sehingga 56.4 kilometer (km) tanpa pelepasan asap.
Mod hibrid adalah piawaian standard yang menggabungkan dua kuasa iaitu enjin petrol dan motor elektrik. Gabungan kedua-duanya mampu meningkatkan kepuasan maksimum pemanduan dan meminimumkan kesan alam sekitar dengan jarak perjalanan sehingga 960km.
Dalam mod kuasa pula, teknologi berkenaan dipertingkatkan bagi mewujudkan kuasa maksimum menerusi gabungan enjin dengan 280hp dan 70hp bagi motor elektrik.
Ketika menggunakan mod kuasa, model konsep itu boleh memecut daripada tahap pegun sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dengan mencatat 6.1 saat.
Jentera itu menggunakan enjin petrol empat silinder berkuasa turbo dari Arkitek Alam Sekitar Volvo (VEA) dan turut menawarkan tahap penggunaan bahan api lebih ekonomi.
Selain itu, enjin berkenaan tidak mempunyai ‘motor starter’ atau ‘alternator’ sebaliknya menggunakan ‘Integrated Starter Motor Generator’ (ISG) yang berupaya menjana kuasa yang lebih sehingga 45hp.
Ia juga dilengkapi aplikasi telefon bimbit untuk memudahkan pemandu berhubung dengan kereta untuk mengakses pelbagai data seperti tahap bateri, lokasi serta stesen minyak berdekatan.
Jentera jenama dari Sweden itu dilengkapi sistem pacuan empat roda elektrik yang direka untuk memberikan kuasa tarikan lebih baik terutama di jalan licin.
DATA:
KONSEP VOLVO XC60 PLUG-IN HIBRID