Isnin,14 Julai 2014

Waspada gerakan Syiah

KUALA LUMPUR: Gerakan Syiah di negara ini disifatkan terkawal, namun pada masa sama umat Islam perlu berhati-hati kerana fahaman itu boleh disebarkan secara senyap.

Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Aizam Mas’ud berkata, sehubungan itu, pihak berkuasa agama memerlukan kerjasama dan maklumat orang ramai bagi membendung penularan fahaman itu.


“Jakim bertindak sebagai agensi penyelaras manakala penguatkuasaan pula oleh Jabatan Agama Islam di negeri, disebabkan kekangan anggota penguatkuasa, kami sangat memerlukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat,” katanya pada Forum Ilmiah: ‘Biar Berbeza Politik, Asal Sepakat Tolak Syiah’ di Taman Permata, di sini, malam kelmarin.

Forum itu dirasmikan Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din. Aizam berkata, berdasarkan kajian, fahaman Syiah bertapak di Malaysia pada 1979 ketika berlaku Revolusi Iran apabila apa berlaku di negara itu menarik perhatian.


“Sekitar tahun 80-an, ada orang Melayu berjinak-jinak dengan Syiah dan pada 1984, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bersidang pada waktu belum ada kajian mantap mengenai Syiah.


“Dalam perbincangan itu, jawatankuasa memutuskan pegangan umat Islam di Malaysia ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah, Syiah Imam Dua Belas dan Syiah Zaidiyah. Bagaimanapun berlaku kekeliruan di kalangan umat Islam apabila amalan Syiah seperti nikah mutaah dan solat jamak tanpa adanya keperluan dilakukan pengikutnya, malah tersebar buku mencerca sahabat Nabi Muhammad s.a.w seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman,” katanya.

Beliau berkata, pada 1996 selepas satu kajian menyeluruh dilakukan, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan hanya pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dibenarkan di Malaysia.


Sementara itu, seorang lagi ahli panel forum itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, sebelum ini terdapat usaha di peringkat ulama seperti di Mesir untuk mencari titik pertemuan antara Sunnah dengan Syiah tetapi gagal kerana Rukun Islam berbeza selain penghinaan melampau mereka kepada sahabat Rasulullah.

“Memang tidak akan wujud titik pertemuan kerana fahaman mereka yang sangat melampau. Kita juga perlu berhati-hati ketika mengangkat atau mengagumi tokoh dari Iran berfahaman Syiah kerana sangat merbahaya kepada akidah.


“Tokoh Sunnah ramai boleh dijadikan idola tetapi kenapa mereka yang berfahaman Syiah dipopularkan dalam keadaan akidahnya tersasar jauh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/02/13
`