Khamis,20 Februari 2014

Zon Utara catat jumlah paling banyak

KALI pertama menjejakkan kaki di Kedah bagi Zon Utara, Karnival Futsal Harian Metro dan Bola Jaring Harian Metro yang dibawa oleh AmBank mendapat sambutan membanggakan.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar, berkata ini kerana kejohanan di D’Futsal Centre, Alor Setar itu mencatat 183 penyertaan keseluruhan dengan kategori Terbuka Lelaki (117), Terbuka Wanita (23) dan Lelaki bawah 17 tahun (43).


“Jumlah penyertaan ini lebih tinggi berbanding di dua lokasi sebelum ini iaitu Zon Tengah di Kuala Lumpur dan Zon Timur di Gong Badak, Terengganu.

“Manakala bola jaring turut mencatatkan penyertaan tidak kurang hebat dengan 21 penyertaan bagi dua kategori yang dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita,” katanya yang menyaksikan pertembungan final, semalam.


Mengulas lanjut, Mustapa berkata saingan disifatkan terus mendapat sambutan kukuh daripada peminat sukan seluruh negara.


“Kejohanan mendapat 70 peratus penyertaan dari penduduk sekitar Utara iaitu tuan rumah, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dan selebihnya dari negeri luar antaranya Kuala Lumpur serta Pahang.

“Dengan adanya pasukan luar di Zon Utara ini, ia membuktikan sukan futsal terus berada di hati peminat sukan tempatan kerana mereka sanggup hadir dari jauh.


“Daripada segi kualiti pula, dilihat Zon Utara menyamai aksi di dua zon sebelum ini dan mereka cukup hebat di gelanggang,” katanya.

Selain mendapat penyertaan membanggakan, karnival turut menyaksikan kehadiran 10,000 penyokong.


“Secara keseluruhan, kami amat berpuas hati dengan penganjuran karnival meskipun hadir di sini buat pertama kali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/05/28
`