Jumaat,01 Ogos 2014

e-mel anda: Sekat pendatang asing

MUTAKHIR ini jenayah di kalangan pekerja asing semakin merisaukan masyarakat tempatan.

Bermula dengan pelbagai salah laku jenayah seperti rompak, ragut dan rogol hingga pergaduhan sesama mereka sama ada antara dua kumpulan dari negara sama ataupun dari negara lain.

Hampir setiap hari laporan salah laku jenayah mereka didedahkan dalam media massa.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan insiden pergaduhan dua kumpulan pekerja asing dengan 400 pekerja warga asing terbabit dalam pergaduhan yang bersenjatakan kayu, besi dan batu di sebuah asrama sebuah kilang tekstil di Taman Semarak, Nilai.


Pergaduhan antara kumpulan pekerja Vietnam dan Bangladesh itu dipercayai berpunca daripada tindakan seorang pekerja lelaki warga Bangladesh mengusik seorang pekerja wanita Vietnam.


Dalam satu lagi kejadian, seorang lelaki warga Myanmar mati dibunuh sekumpulan lelaki dipercayai berpunca berebut teman wanita di Bukit Maluri, Kepong.

Lambakan pekerja asing baik yang datang secara sah mahupun yang tinggal secara haram antara punca utama kejadian ini.

Apabila bilangan mereka semakin ramai, mereka lebih yakin dan menjadi kuat seterusnya berani berbuat apa saja di negara orang tanpa rasa takut.

Buktinya ialah kejadian pergaduhan di Nilai tempoh hari di samping kes jenayah yang semakin meningkat yang membabitkan pekerja asing seolah-olah mencabar pihak berkuasa dan undang-undang Malaysia.

Justeru persoalannya ialah di mana silapnya? Apa punca kejadian sebegini yang seolah-olah semakin menjadi-jadi dan sukar untuk dikawal?

Jawapan utama ialah ia kerana bilangan mereka terlalu ramai.

Bila mereka bersatu sebagai kumpulan besar kita menghadapi masalah mengawal mereka.

Lebih penting keperluan untuk mengawal dan memantau kemasukan warga asing beramai-ramai ke Malaysia.

Baik yang sah apatah lagi yang memasuki negara ini secara haram, perlu disekat dan dihadkan.

Hal ini penting kerana kemasukan mereka bukan saja menggugat peluang pekerjaan rakyat tempatan, tetapi lebih bahaya ialah kejadian jenayah yang semakin meningkat.

Apakah kita mahu membiarkan perkara ini terus berlaku dan menjadi wabak serta virus yang sukar dikawal?

Bagaimana tahap keselamatan rakyat tempatan? Ini kerana kejadian seperti ini bukan pertama kali berlaku.

Justeru, pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil langkah pencegahan sewajarnya supaya kejadian ini dapat dibendung.

Antara cadangan yang boleh kemukakan ialah memperketatkan peluang kemasukan pekerja asing supaya dapat mengurangkan bilangan mereka dengan mengkaji dan melihat semula keperluan mereka dalam bidang yang diperlukan. Ringkasnya, kelulusan pengambilan pekerja asing perlu diperketatkan.


NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMED
Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang

Artikel ini disiarkan pada : 2011/07/04
`