KUALA LUMPUR: Tiga gereja, satu di ibu negara dan dua di Selangor, dibaling bom api dalam kejadian tengah malam dan awal pagi semalam.
KUALA LUMPUR: Tiga gereja, satu di ibu negara dan dua di Selangor, dibaling bom api dalam kejadian tengah malam dan awal pagi semalam.
Dalam kejadian lontaran bom api di dua gereja di Petaling Jaya, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata sehingga kini tiada tangkapan dibuat.
Beliau berkata, polis menemui pecahan botol dan cebisan kain pencuci luka yang dijadikan sumbu bom.
Namun, katanya, tiada saksi melihat kejadian itu cuma mendengar bunyi benda pecah di atas jalan di perkarangan gereja terbabit.
Dalam kejadian di Gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman mengesahkan ia perbuatan khianat dengan dua suspek dipercayai terbabit memecahkan cermin kaca sebelum mencurahkan petrol hingga memusnahkan pejabat pentadbiran rumah ibadat itu, kira-kira jam 12 tengah malam.
Kejadian itu menyebabkan hampir 80 peratus struktur pejabat di tingkat bawah gereja berusia lebih 12 tahun yang menempatkan komputer, kerusi dan buku agama berkenaan musnah dijilat api.
Bagaimanapun, tindakan pantas bomba berjaya memadamkan api yang marak dalam tempoh 20 minit, sekali gus menyelamatkan tingkat dua dan tiga gereja berkenaan.
Difahamkan, beberapa saksi mendakwa ternampak kelibat 'lembaga' melarikan diri sejurus kebakaran menaiki dua motosikal yang diletakkan di sekitar gereja terbabit.
Malah, sepasukan anggota polis dan bomba yang menjalankan pemeriksaan menemui dua topi keledar yang sudah terbakar di depan gereja berkenaan selain sebuah tong plastik dipercayai mengandungi bahan bakar hidrokarbon.
Difahamkan, cermin gereja itu dipecahkan menggunakan spanar sebelum mencurahkan petrol untuk membakar.
Muhammad Sabtu berkata, petunjuk kes itu sudah diperoleh, namun tidak boleh didedahkan kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan.
"Keterangan pengawal keselamatan termasuk empat saksi lain akan direkodkan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media, semalam. - Bernama
PADANG BESAR: Seorang tekong darat lari meninggalkan lapan pendatang asing tanpa izin apabila ...