mutakhir

Lelaki maut dihempap lori

Oleh Erika George

Bintulu: Seorang lelaki maut selepas lori tangki minyak yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik di tepi Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri awal pagi tadi.

Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 5 Bintulu Wan Kamarudin Wan Ahmad, mangsa Mohd Azrin Sapri 32, dari Kampung Subak Bekenu disahkan maut di lokasi kejadian.

Lori tangki berkenaan dikatakan sarat dengan muatan 27, 000 liter minyak petrol dan diesel.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan pada jam 6.10 pagi," katanya.

Menurutnya, pihaknya mendapati seorang lelaki tersepit dan mengeluarkan mayat mangsa dari bahagian kerusi duduk pemandu dengan menggunakan peralatan khas dan khidmat sebuah kren.

"Kita mengambil masa hampir tiga jam bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan selesai pada jam 9.20 pagi," katanya.

Disiarkan pada: August 18, 2023 @ 2:54pm
d