mutakhir

Warga emas rugi RM10,000 diperdaya bantuan kebajikan, pelaburan verbal

Oleh Melvin Joni

Miri: Seorang wanita warga emas kerugian lebih RM10,000 selepas diperdaya dua lelaki yang menawarkan bantuan kebajikan dan pelaburan secara verbal yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, pada 23 Ogos lalu ketika berada di rumah, mangsa didatangi oleh kedua suspek yang menawarkan bantuan dan pelaburan berkenaan.

Menurutnya, mangsa kemudiannya memberikan kad pengenalan dan kad bank serta menyerahkan wang tunai dan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM10,000 kepada suspek.

"Kemudiannya apabila mangsa pergi ke dapur, kedua suspek terbabit bertindak melarikan diri bersama-sama wang tunai dan barang kemas miliknya itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexson berkata, mangsa menyedari dirinya diperdaya selepas kedua suspek melarikan diri.

Katanya, ekoran itu, anak mangsa segera membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: August 25, 2023 @ 4:42pm
d