mutakhir

2 penganggur dicekup bersama 36,200 pil kuda, syabu

Oleh Siti Rohana Idris

Tanah Merah: Dua penganggur diberkas bersama 36,200 pil kuda dan 183 gram (gm) syabu dalam dua serbuan berasingan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, lelaki berusia 46 dan 29 tahun dengan masing-masing tiga serta empat rekod lampau bersabit dadah dan jenayah itu ditahan dalam Op Tapis yang dijalankan semalam.

"Serbuan pertama dibuat di sebuah rumah di Batu 11, di sini jam 6 petang dan pemeriksaan lanjut di atas lantai ruang dapur menjumpai 200 pil kuda dan 183gm syabu.

"Kedua-dua dadah itu dianggarkan bernilai RM38,600 dan suspek juga mempunyai tiga rekod lampau bersabit dadah serta jenayah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haki berkata, tangkapan seterusnya dibuat terhadap seorang lagi suspek di tepi jalan di Kampung Batu Gajah, jam 6.45 petang.

Menurutnya, suspek berusia 29 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditahan oleh sepasukan

pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tanah

Merah.

"Pemeriksaan dalam beg yang dibawa suspek menemui enam bungkusan warna kuning berisi pil yang disyaki pil kuda berjumlah 36,000 dengan anggaran nilai RM360,000.

"Hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau berkait dadah.

"Kedua-dua suspek juga positif dadah jenis methamphethamine dan ditahan reman selama seminggu bermula semalam hingga 16 September bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2023 @ 8:40pm
d