mutakhir

Semua agensi diarah siap siaga hadapi banjir - Fadillah

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan semua agensi supaya bersiap siaga bagi menghadapi banjir terutama di Pantai Timur.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, penekanan harus diberikan kepada perancangan persediaan dalam menghadapi musim bencana yang mendatang.

Katanya, keselamatan serta kebajikan mangsa perlu dititikberatkan di samping kesiapsiagaan semua agensi, khususnya, pemberi bantuan dalam menguruskan sumber dan logistik.

"Dalam agenda mesyuarat membabitkan ketua jabatan dan agensi persekutuan, persediaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) antara agenda mesyuarat.

"Penyelarasan menyeluruh oleh semua agensi yang terbabit amat kritikal khususnya pusat pemindahan sementara (PPS) di sekolah-sekolah perlu membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Semua jabatan dan agensi perlu memberikan sepenuh sokongan kepada agensi yang terbabit secara langsung seperti pejabat daerah, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamatan dan pasukan keselamatan lain," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan perasmian Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau percaya perancangan dan pelaksanaan projek fizikal berkaitan tebatan banjir seperti Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan dan Sungai Golok yang mencecah RM1.3 bilion oleh Kerajaan Persekutuan dijangka akan membantu mengurangkan kesan bencana alam ini kepada Kelantan, apabila ia siap kelak.

"Untuk Kelantan, sebanyak RM122 juta meliputi pelbagai jenis bantuan banjir sudah disalurkan kepada mangsa yang terbabit banjir.

"Saya mengucapkan terima kasih di atas kerjasama pihak kerajaan negeri serta semua agensi yang terbabit dalam menguruskan agihan bantuan kepada mangsa," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2023 @ 9:55am
d