mutakhir

PVATM bincang lucut keahlian Ali Tinju

Ipoh: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Perak akan melucutkan keahlian Pemimpin Gerakan Merah 1Malaysia Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali Ali Tinju berikutan tindakannya yang sering menimbulkan sentimen perkauman sehingga memburukkan nama baik dan imej persatuan itu.

Naib Presiden PVATM, Jayah Said berkata, perbincangan dilakukan di peringkat Majlis Eksekutif dan Majlis Tertinggi persatuan sebelum memuktamadkan keputusan itu.

“Sebelum ini pihak kami ada menegur, namun Ali melenting dan menyerang secara peribadi Presiden PVATM Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor menerusi laman sosial Facebook.

“Ini membuktikan tindak-tanduk beliau (Ali) bercanggah dengan budaya, etika dan nilai murni Veteran ATM selain melanggar perlembagaan dan peraturan persatuan,” katanya pada sidang media di Wisma Pahlawan, di sini, semalam.

Jayah berkata, perkhidmatan Ali Tinju dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama lapan tahun disifatkan singkat dan tidak melayakkan dirinya dikaitkan dengan PVATM.

Katanya, Ali Tinju hanya ahli biasa dan tidak mempunyai pangkat seperti didakwa malah persatuan didakwanya sebagai presiden adalah tidak benar.

“Persatuan Veteran Tentera Tanah Melayu yang dipimpinnya telah dibatalkan pendaftaran Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) 1 April tahun lalu kerana tidak mematuhi peraturan dalam Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Mohd Ali ditahan reman dua hari bermula Selasa lalu dipercayai mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan melalui aplikasi WhatApps susulan kekecohan yang berlaku di Kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Disiarkan pada: December 24, 2015 @ 10:10am
d