mutakhir

'Bapa ingin bertemu adik-beradiknya buat kali terakhir'

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Tampin: Anak kepada seorang warga emas yang semakin uzur berharap adik-beradik bapanya yang terpisah lebih 30 tahun lalu dapat ditemui semula.

Mohamad Saiful, 38, dari Kampung Asahan , di sini berkata, bapanya Shamsudin Jusoh, 64, berharap dapat bertemu dengan adik-beradiknya.

Menurutnya, bapanya kini menderita kanser paru-paru tahap empat, selain tidak lagi boleh makan dan minum.

"Saya tidak mengenali adik-beradik ayah kerana ketika berusia empat tahun, ayah dan ibu bercerai. Saya bertemu dengan ayah semula pada 2002 ketika dia menjadi wali pernikahan kakak (Siti Saliza), namun selepas itu ayah menghilangkan diri.

"Tahun lalu, saya mengambil keputusan berhenti sebagai anggota tentera kerana mahu mencari ayah dan menemuinya bulan lalu apabila sebuah hospital di Johor menghubungi kami (Mohamad Saiful dan Siti Saliza) mengenai keadaan kesihatannya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, dia berharap adik-beradik bapanya itu dapat ditemui segera berikutan tahap kesihatan bapanya itu semakin merosot.

"Ayah ada memberitahu dia mempunyai tiga adik-beradik. Saya berharap mereka mengetahui keadaan ayah dan sempat berjumpa dengannya.

"Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat, boleh hubungi saya di talian 013-6176762," katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2023 @ 8:39pm
d