ku-bela

Fikir sebelum bela

Oleh Hartini Mohd Nawi

Memiliki haiwan peliharaan adalah satu pengalaman yang paling menggembirakan dengan kehidupan lebih bermakna.

Malah mempunyai haiwan peliharaan juga bermakna kamu bertanggungjawab ke atas kebajikannya bukan sekadar 'teman' semata-mata.

Anda bertanggungjawab untuk memastikan ia sihat, kelihatan bersih, kemas dan gembira.

Itu juga tidak bermakna anda mengabaikan kesihatan dan kebajikan diri sendiri.

Jadi, terdapat beberapa perkara diambil kira sebelum mempertimbangkan untuk memelihara haiwan.

1) Mempunyai alahan atau mengidap penyakit asma.

Alergen adalah bahan yang boleh menyebabkan serangan asma tercetus.

Air liur, air kencing, najis, bulu dan dander adalah alergen dan boleh menyebabkan tercetusnya serangan asma.

Bulu haiwan juga boleh memerangkap habuk, polen, kutu, kulat dan beberapa alergen lain.

Jika anda sensitif kepada haiwan ini kamu mungkin akan merasa gatal hidung dan berair, bersin, mata jadi merah dan berair apabila terdedah kepada haiwan ini.

Dapatkan nasihat doktor jika anda sedang mempertimbangkan untuk memiliki haiwan peliharaan.

2) Peraturan perumahan.

Sesetengah perumahan tidak membenarkan penghuninya memelihara haiwan peliharaan.

Ini biasanya untuk menjaga kebersihan persekitaran dan mungkin juga bagi menghormati penghuni lain yang mungkin tidak suka atau alah pada haiwan peliharaan.

Langkah selamat adalah dengan mendapatkan dahulu maklumat berkenaan peraturan di kawasan perumahan kamu.

3) Kelapangan masa.

Teliti semula jadual harian atau kerjaya anda. Adakah kamu mempunyai cukup masa untuk membersihkan, memberi makan dan menjaga haiwan itu. Dikhuatiri jika anda tiada masa atau terlalu sibuk, haiwan peliharaan anda terbiar tanpa dijaga kebajikannya.

4) Kos.

Sesetengah orang, mengambil keputusan memelihara haiwan apabila haiwan itu datang sendiri atau tersesat di kawasan sekitar rumah. Ada juga yang terpaksa mengeluarkan kos untuk membeli haiwan peliharaan. Malah memastikan kesihatan dan kebersihan haiwan peliharaan juga turut membabitkan kos yang tinggi.

5) Haiwan peliharaan yang sesuai.

Tidak semua haiwan boleh dijadikan haiwan peliharaan.

Haiwan eksotik, agresif, hampir pupus dan berbisa mungkin tidak sesuai untuk dipelihara.

6) Keselamatan diri sendiri.

Haiwan peliharaan mungkin akan menyerang anda jika ia merasakan dirinya terancam walaupun pada dasarnya ia jinak.

Pastikan keselamatan diutamakan pada setiap masa.

Jika anda digigit atau cakar atau cedera akibat haiwan peliharaan dapatkan segera rawatan perubatan. Jangan bertangguh.

Disiarkan pada: November 1, 2023 @ 6:44am
d