mutakhir

Hati-hati ada harimau

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Penduduk di Pos Kuala Mu, Sungai Siput dan Kampung Sahom, Kampar dinasihatkan mengambil langkah waspada susulan kemunculan harimau belang di kawasan berdekatan perkampungan mereka minggu lalu.

Kemunculan haiwan liar itu di dua kawasan berkenaan turut disahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, Kuala Mu adalah kawasan penempatan masyarakat Orang Asli dan berdekatan dengan habitat harimau belang di Hutan Simpan Piah.

Katanya, manakala di Kampung Sahom juga kawasan berkenaan turut berdekatan dengan Hutan Simpan Salu dengan pihaknya mengandaikan harimau yang dikesan dekat perkampungan itu mungkin tersesat.

"Di Kampung Sahom mungkin harimau berkenaan terlajak ketika cari makan memandangkan babi hutan dekat kawasan itu berkurangan akibat wabak demam babi Afrika (ASF)," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, ketika ini pihaknya sudah memasang kamera dan perangkap di kedua-dua lokasi itu dan menasihatkan penduduk tidak melakukan provokasi jika terserempak haiwan itu.

Sejak kelmarin tular rakaman berdurasi tujuh saat memaparkan kelibat harimau yang didakwa berada di tepi jalan raya di Kuala Mu.

Turut tular rakaman memaparkan pihak Pejabat Penerangan Daerah Kampar melakukan hebahan bergerak menggunakan van dilengkapi pembesar suara yang mengingatkan supaya penduduk di Kampung Sahom mengambil langkah waspada susulan kemunculan harimau yang mula dilaporkan sejak 22 Oktober lalu.

Disiarkan pada: November 1, 2023 @ 11:13am
d