mutakhir

Sarawak teroka sumber ekonomi baharu

Oleh Mohd Roji Kawi

Simunjan: Kerajaan Sarawak akan meneroka satu lagi sumber pendapatan baharu bagi meningkatkan ekonomi negeri.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, ia sebagai tambahan kepada beberapa sumber pendapatan yang sudah dilaksanakan ketika ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan bidang berkenaan yang masih dalam penelitian dan dijangka mengumumkannya dalam masa terdekat.

"Memang kita (kerajaan Sarawak) sudah merancang satu lagi sumber pendapatan baharu.

"Sekarang kita sudah ada televisyen sendiri, syarikat petroleum sendiri, bank pembiayaan sendiri dan syarikat penerbangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program TVS Prihatin di Gedong, di sini, hari ini.

Abang Johari turut memberi bayangan kemungkinan beliau akan mengumumkan perkara pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan bermula 20November ini.

"Kalau bukan ketika persidangan DUN, mungkin dalam masa terdekat selepas itu," katanya.

Abang Johari berkata, antara sumber pendapatan yang sudah dilaksanakan ketika ini ialah stesen penyiaran iaitu TV Sarawak (TVS), Syarikat Petroleum Sarawak (PETROS), Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) serta syarikat penerbangan sendiri yang akan mengambil alih MASwings.

Disiarkan pada: November 11, 2023 @ 3:51pm
d