mutakhir

Naik lif dalam gelap

Kuala Lumpur: Ribuan penduduk Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak di sini berdepan kerumitan dalam menjalani kehidupan seharian berikutan pelbagai kemudahan di situ tidak diselenggara dengan sewajarnya.

Penghuni yang mendiami 12 blok yang berbilik tiga mengeluhkan kemudahan penting seperti lif sering mengalami kerosakan sehingga memaksa mereka memanjat tangga.

"Lif selalu rosak. Walaupun baru beberapa hari diperbaiki, ia kembali rosak. Penghuni terutama ibu mengandung dan warga asing paling susah apabila terpaksa menggunakan lif.

"Baru-baru ini lampu dalam lif turut rosak menyebabkan penduduk terpaksa bergelap menaikinya," kata seorang penghuni, Mohd Bahri Hamzah, 42.

Menurutnya, penduduk turut tidak bertanggungjawab apabila ada yang membuang air kecil dalam lif sehingga berbau hancing.

"Penduduk turut tidak bertanggungjawab apabila membaling macam-macam benda dari kediaman mereka. Dalam dua minggu ini sahaja, tiga kereta mengalami kerosakan ditimpa barang yang buang dari tingkat atas," katanya.

Penghuni lain, M Gunasegaran, 28, pula berkata, persekitaran perumahan itu juga tidak terjaga apabila gerai haram dibiarkan bercambah meskipun medan makan disediakan pihak berkuasa tempatan untuk berniaga.

"Ada antara gerai ini dibuka di laluan pejalan kaki manakala yang lain didirikan di kawasan parkir sehingga menyebabkan penduduk sukar meletakkan kenderaan," katanya.

Menurutnya, kewujudan gerai haram itu turut menyebabkan rezeki peniaga di medan makanan berkenaan merosot sehingga ada yang terpaksa menutup perniagaan.

Kata Gunasegaran, bilangan lot parkir untuk meletakkan motosikal turut perlu ditambah.

"Tempat parkir bertingkat disediakan pihak berkuasa dengan bayaran bulanan RM60 namun tidak ramai penghuni yang mampu membayarnya," katanya.

Seorang lagi penduduk, S Deebawati, 31, pula berkata, tahap kebersihan di perumahan awam itu turut menyedihkan apabila sampah tidak berpungut secara berjadual.

"Najis dan air kencing kucing bersepah di kebanyakan tingkat disebabkan tindakan penduduk membelanya walaupun peraturan melarangnya.

"Kami berharap syarikat penyelenggaraan kebersihan dapat menambah bilangan kakitangan untuk memastikan kebersihan secara menyeluruh," katanya.

Perumahan Awam Desa Rejang dibuka 18 tahun lalu untuk menempatkan penduduk yang kebanyakannya dipindahkan daripada dari Flat Pekeliling di Jalan Tun Razak yang dirobohkan untuk pembangunan semula.

Sementara itu, Perbadanan Pengurusan (MC) perumahan itu enggan memberikan sebarang komen meskipun dihubungi Harian Metro.

Disiarkan pada: December 18, 2023 @ 7:02am
d