mutakhir

Peniaga jatuh jambatan ditemukan lemas selepas 3 hari hilang

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Selepas tiga hari hilang, mayat peniaga yang terjatuh di Sungai Kelantan di Jambatan Tendong dekat Pasir Mas, ditemukan lemas hari ini.

Mangsa, Mohd Zulhilmi Mohd Zamri, 37, terjatuh di Sungai Kelantan dalam kejadian 2.50 petang kelmarin.

Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat JBPM Kelantan Mohd Wildan Azhari berkata, mangsa ditemui di bawah Jeti Bot Pok Heng di Pasir Pekan, Tumpat pada 9.15 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Mas.

Menurutnya, mangsa ditemukan dalam jarak lapan kilometer (km) dari lokasi awal dia terjatuh.

"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.

"Operasi SAR berjalan selama tiga hari termasuk hari ini yang membabitkan seramai 54 anggota iaitu dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Operasi bermula 9 pagi sebelum mayat mangsa ditemui 15 minit kemudiannya," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Disiarkan pada: December 21, 2023 @ 4:18pm
d