mutakhir

Penerbangan ihsan bawa tujuh pesakit Orang Asli

Oleh Suhanna Iskandar

Kuala Lumpur: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan bagi membawa tujuh pesakit termasuk wanita mengandung ke Hospital Gua Musang bagi mendapatkan rawatan, semalam.

Operasi berkenaan juga membabitkan penghantaran bekalan makanan seberat 4,731 kilogram (kg) kepada beberapa penempatan Orang Asli.

Antara kawasan terbabit termasuk Pos Bihai, Pos Gawin, Pos Tembaga dan Pos Gob di pedalaman Gua Musang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya berjaya melakukan tiga penerbangan ihsan keluar pesakit dari kawasan pedalaman ke hospital berhampiran.

"Operasi penerbangan ihsan mengambil dua pesakit kanak-kanak yang mengalami demam panas, cirit birit, pernafasan laju serta lemah anggota badan di Pos Bihai, Gua Musang.

"Selepas itu, pesawat berlepas ke Pos Gob bagi mengambil seorang pesakit kanak-kanak dan seorang pesakit dewasa yang memerlukan rawatan lanjut di Hospital Gua Musang.

"Kemudian, pesawat berlepas untuk mengambil dua pesakit wanita mengandung dan seorang pesakit kanak-kanak lelaki yang lemah anggota badan di Pos Tembaga untuk rawatan," katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2024 @ 12:06pm
d