M Nasir.
RAMLI dengan aksi tersendiri.
GANDINGAN ini memberikan persembahan yang hebat dan bertenaga.
GABUNGAN persembahan Ramli dan Nasir sudah lama dinantikan.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman (Yang membuat liputan Konsert Ramli & Nasir Brotherhood In Music di Singapura dan baru-baru ini)
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Apabila dua legenda muzik bersatu dalam sebuah konsert, impaknya sudah tentulah hebat dan menampilkan sesuatu yang berbeza daripada persembahan artis lain.

Buat pertama kali juga, Datuk Ramli Sarip, 63, dan Datuk M Nasir, 58, digandingkan dalam konsert berjudul Ramli & Nasir Brotherhood in Music di Esplanade, Singapura, baru-baru ini.

Sememangnya gandingan ini dinantikan peminat dan ini dibuktikan apabila mereka hadir memenuhi setiap ruang di Concert Hall yang menjadi lokasi persembahan bersejarah itu.

Yang nyata, ia berbeza dengan trend peminat di Malaysia kerana rata-rata yang hadir menonton adalah golongan berusia 40-an ke atas. Bilangan penonton muda pula boleh dihitung dengan jari.

Bahkan, ada dalam kalangan penonton seakan-akan sebaya dengan Ramli, namun ia bukanlah penghalang buat mereka menikmati persembahan yang ditampilkan.

Esplanade selaku penganjur begitu mementingkan aspek masa dan tepat jam 8 malam, pentas sudah dibuka dengan persembahan M Nasir menerusi lagu pertamanya, Phoenix Bangkit Dari Abu dan disusuli Raikan Cinta.

Pemilihan lagu ini ternyata tepat kerana berjaya menaikkan ‘mood’ penonton untuk terus mengikuti nyanyian yang disajikan.

“Terima kasih buat anda kerana datang. Hari ini ada apa acara penting di Kota Singa? Tiada, kerana ini yang penting, kan?” seloroh M Nasir selepas selesai menyanyikan dua lagu itu.

Beliau seterusnya menyampaikan lagu Mustika dan Kias Fansuri sebelum kembali menyambung celoteh dengan peminat.

“Saya belajar menyanyi kerana mendodoikan abang saya. Saya dengar emak menyanyikan lagu untuk dodoikan saya tidur, jadi saya pun dodoikan abang pula,” katanya yang disambut ketawa peminat.

Persembahan M Nasir seterusnya dihiasi dengan lagu Kian Fansuri, Apokalips, Keroncong Untuk Ana dan Hati Emas bagi mengakhiri segmen pertama.

Ramli yang juga penyanyi kumpulan Sweet Charity mengambil giliran selepas itu dengan menyampaikan rangkaian lagu Kamelia dan Seruan seterusnya berkomunikasi dengan peminat.

“Ini adalah bahagian pertama konsert kami dalam tahun 2016. Ia adalah momen peribadi buat saya. Pengorbanan kami dalam muzik akan kami ceritakan semuanya menerusi Wacana Seni Ramli Nasir di universiti selepas ini.

“Pada mulanya saya dan Nasir dianggap ‘rival’ dalam industri muzik tempatan. Namun, sekitar tahun 1985 kami berdua tinggal di Ampang, Selangor dan kami pernah berkongsi makan mi segera.

“Pengalaman ini sangat peribadi,” ceritanya mengenai kisah lampau yang disambut tepukan bergemuruh peminat.

Persembahan diteruskan lagi dengan lagu Bukan Kerana Nama, Istilah Bercinta, Budaya, Jikalau Berkasih dan Teratai.

Sepanjang persembahannya, Ramli yang penuh berfalsafah sentiasa menitipkan perkara positif buat peminatnya.

“Konsert kami di Singapura ibarat sirih pulang ke gagang. Ia gabungan folk, blues, soul dan rock ‘n’ roll, namun diselang selikan genre Nusantara.

“Jiwa Timur tetap melekat di hati kami. Saya cakap dengan Nasir tak perlu nak tunjuk yang bukan-bukan. Kita nyanyi sudah,” katanya yang mengundang ketawa dan tepukan peminat.

Pentas akhirnya menyaksikan gandingan duet pasangan ini menerusi rangkaian lagu popular seperti Mentera Semerah Padi, Gerhana, Kamelia dan Kau Yang Satu.

Sepanjang persembahan, Ramli dan Nasir sentiasa menceriakan penonton dengan usik-mengusik sekali gus menggambarkan kemesraan mereka yang sudah lama terjalin.

Konsert berdurasi 1 jam 30 minit ini turut dibantu dengan kekuatan pemuzik yang bukan calang-calang seperti Man Kidal (gitar), Aznan Alias (gitar ), Ritz (gitar), Din Safari (bass), Roza Rasul (keyboard), Firdaus (keyboard), Kamarul Bahrin (percussion), Firdaus (serunai), Tom (dram) dan Ujang (dram).

Aznan dan Roza turut bertindak sebagai pengarah muzik untuk konsert ini.

Dua legenda ini akan meneruskan gandingan mereka menerusi program Ramli & Nasir University Tour 2016 yang akan bermula pada 13 Februari dan berakhir pada 9 April nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 8:34 AM