mutakhir

Apabila imam dan bilal buat video tarik orang ke masjid

Oleh Redzuan Muharam

Bangi: Bagi mendekatkan masyarakat setempat dengan rumah Allah, pengurusan Masjid Bandar Seri Putra, di sini, memanfaatkan TikTok bagi memuat naik pelbagai video berunsur jenaka yang sarat dengan mesej positif.

Menariknya, imam dan bilal masjid berkenaan turut sama terbabit dalam penghasilan video yang salah satunya meraih sehingga lebih 1.3 juta tontonan.

Di sebalik apa dipaparkan, Muhamad Amirul Azizi Roslan adalah individu yang dipertanggungjawabkan sebagai pencipta kandungan video di TikTok Masjid Bandar Seri Putra. Pemuda berusia 28 tahun itu berkata, idea diketengahkan bukan daripadanya seorang tetapi tercetus hasil perbincangan bersama dengan pihak pengurusan dan semua yang terbabit.

"Sebelum ini, saya adalah usahawan dalam talian dan hanya rakam video sendiri malah tak pernah berlakon pun.

"Tapi pihak pengurusan masjid beri kepercayaan untuk saya jadi sahut cabaran dengan aktifkan TikTok Masjid Bandar Seri Putra dan kongsi video sejak 1 Januari lalu.

"Setakat ini, kami sudah hasilkan 31 video dan mengumpul hampir 20,000 pengikut dalam tempoh dua minggu.

"Ikutkan, pelbagai perkongsian video dimuat naik, antaranya berkaitan adab dalam solat, peringatan mengenai kematian menerusi ulasan van jenazah, tanah perkuburan serta ruang dalam liang lahad," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, pihak pengurusan masjid berpuas hati dengan video dihasilkan dan memberi galakan untuk terus berkarya yang dekat dengan orang ramai.

Muhamad Amirul Azizi berkata, maklum balas diterima juga positif namun tidak dapat lari daripada kecaman dilemparkan susulan perkongsian dibuat.

"Kecaman itu kerana ada yang menganggap kami cuba mempermainkan dan buat gurauan soal kematian.

"Hakikatnya, ada mesej yang cuba disampaikan jika ambil daripada sudut positif.

"Apa pun, terima kasih diucapkan kepada semua yang menonton dan menyokong usaha pihak masjid.

"Misi saya dan semua yang terbabit adalah menjenamakan masjid supaya ramai kenal hingga seronok untuk menyumbang dan turut serta dalam program dianjurkan," katanya yang menjadikan Masjid Al Busyra di Merbok dan Masjid Murtadha Dakwah Centre atau MADAD di Sungai Petani, Kedah sebagai rujukan.

Sementara itu, Mohd Dzikri Mohd Nor, 39, iaitu Bilal 1 Masjid Bandar Seri Putra turut serta dalam penghasilan video kerana mahu berkongsi kreativiti demi mengetengahkan usaha dilakukan pihak masjid untuk lebih mendekati masyarakat.

Mohd Dzikri berkata, TikTok dipilih kerana menganggap ia platform laman sosial yang relevan pada masa kini dan sesuai bagi menyampaikan mesej kepada semua golongan tanpa halangan.

"Segelintir orang di luar sana mungkin ingat bilal macam saya tahu azan saja hakikatnya saya pun boleh buat daripada itu.

"Itu yang kita nak tunjuk selain mesej kepada orang ramai dalam bentuk jenaka, santai dan mudah dihadam.

"Kalau boleh, kita nak tarik semua golongan termasuk golongan muda untuk rasa suka nak ke masjid.

"Teruskan menyokong dan kalau boleh ikuti TikTok Masjid Bandar Seri Putra untuk menonton video dakwah santai tapi sampai," katanya yang bertugas di Masjid Bandar Seri Putra sejak 2016.

Disiarkan pada: January 16, 2024 @ 4:54pm
d