mutakhir

Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang baharu belum diputuskan

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Majlis angkat sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dijadualkan diadakan pada 29 Januari ini.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada majlis angkat sumpah itu untuk jawatan Pemangku Yang di-Pertua Negeri atau muka baharu yang dilantik sebagai ketua negeri.

Sumber yang rapat Astana Negeri Sarawak berkata, mesyuarat khas dijalankan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pagi tadi dipercayai membincangkan pelantikan Yang di-Pertua Negeri yang baharu.

Ketika ditanya sama ada Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang diwar-warkan di media sosial sejak semalam akan dilantik ke jawatan itu, sumber berkata, difahamkan pihak Astana Negeri Sarawak tidak mengetahuinya.

"Ya...pihak Astana Negeri memang maklum perkara itu yang heboh sejak semalam, tetapi saya difahamkan kerajaan Sarawak belum membuat sebarang keputusan.

"Mesyuarat khas diadakan di DUN Sarawak hari ini yang saya percaya membincangkan isu pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang baharu," katanya.

Semalam, rakyat Sarawak khususnya dikejutkan dengan laporan oleh portal The Malaysian Insight bahawa Wan Junaidi, 78, meletak jawatan sebagai Speaker Dewan Negara.

Peletakan jawatan itu dikatakan kerana bekas Menteri Kabinet Persekutuan itu sedang bersiap-sedia untuk menyandang jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak atau lebih kenali sebagai Gabenor di Sarawak.

Usaha untuk mendapatkan reaksi Wan Junadi bagaimanapun gagal apabila bekas Ahli Parlimen Santubong dan Ahli Parlimen Batang Lupar itu tidak memberi maklum balas sejak laporan peletakan jawatannya tersebar petang semalam.

Sementara itu, menurut sumber itu lagi, Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud yang sebelum ini berada di Istanbul, Turkeye, selamat kembali ke Kuching malam tadi.

Abdul Taib, 88, yang memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak selama 32 tahun sejak 1981 mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang ke-7 pada 1 Mac 2014.

Disiarkan pada: January 20, 2024 @ 12:52pm
d