mutakhir

Bawa naik mayat abang lemas di Tasik Temenggor

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Gerik: Luluh hati seorang adik apabila menemukan mayat abangnya yang lemas selepas terjatuh dari rumah bot yang diuruskan di Tasik Temenggor, Pulau Banding di sini.

Mayat Muhamad Zulfaqar Zulkarnaen, 33, ditemui pada 11.18 malam tadi selepas hilang hampir lima jam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, adik mangsa yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama beberapa orang awam menemukan mayat mangsa.

Katanya, sebelum itu pihaknya menerima maklumat kejadian pada 6.20 petang dengan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik bergegas ke lokasi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, mangsa yang juga anak seorang anggota BBP Gerik terjatuh ketika sedang menambat tali sauh di tasik berkenaan.

"Adik mangsa dan orang awam yang menggunakan bot persendirian menggunakan kaedah 'casting' ketika pencarian, yang mana tersangkut pada badan mangsa sebelum mayat dibawa naik ke bot.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti di Pengkalan Trojan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Selain BBP Gerik, SAR turut membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM dan anggota BBP Lenggong serta unit anjing pengesan K9.

Turut serta, anggota pelbagai agensi keselamatan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Disiarkan pada: January 24, 2024 @ 8:23am
d