vroom

Penuhi pasaran EV

Oleh Lizam Ridzuan

PENGELUAR kenderaan dari China, Changan Auto bakal melancarkan model kenderaan elektrik (EV) Qiyuan E07 iaitu crossover dengan ciri trak pikap menerusi gambar dimuat naik di laman web Kementerian Perindustrian China (MIIT).

Qiyuan ialah jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) di bawah Changan dan model konsep itu pertama kali diperlihatkan tahun lalu di Pameran Motor Guangzhou menerusi kod nama CD701.

Ia pendekatan unik bagi mewujudkan kekosongan pasaran di antara segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) dan trak pikap.

Sekali pandang ia seakan-akan model SUV coupe yang sebenarnya menawarkan bahagian kargo tertutup serta mempunyai pintu untuk membukanya.

Ia juga dengan gerbang roda hitam, unit lampu memanjang dan gelap serta pemegang pintu pop-out menjadikan ia lebih menyerlah.

Model ini dengan rekaan lampu utama bentuk-C hadapan dan bentuk cincin pada bahagian belakang.

Mengikut saiz ia dengan dimensi 5,045 milimeter (mm) panjang serta jarak roda 3,120mm, berat sekitar 2,278 kilogram (kg) serta padanan rim 20 atau 21 inci.

Ia juga menawarkan lima tempat duduk selesa menggunakan kuasa motor elektrik dengan bateri lithium-ion menjana 338 kuasa kuda (hp) dengan kelajuan mencapai 201 kilometer/sejam (km/j).

Mengikut sumber web ia juga bakal ditawarkan dengan varian dwi-motor yang menjana 590hp serta kelajuan maksimun 210km/j.

Menerusi visual dipaparkan, Qiyuan mahu meletakkan E07 sebagai kenderaan premium yang praktikal dengan gaya aktif dan rekreasi terutama bagi tujuan aktiviti urban atau perkhemahan gaya mewah (glamping).

Changan turut berkongsi kenderaan itu akan menyokong komunikasi satelit orbit rendah untuk dapat menyambung ke internet pada bila-bila masa tanpa terputus ketersambungan talian.

Untuk kapasiti kargo pula, ia mampu memuatkan sehingga 594 kilogram (kg) dengan pacuan semua roda (AWD).

Disiarkan pada: January 28, 2024 @ 7:00am
d