mutakhir

Seludup warga asing, tiga pegawai Imigresen direman lima hari

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Tiga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan dua orang awam direman lima hari mulai hari ini, selepas disyaki meminta dan menerima rasuah, bagi menyeludup warga asing masuk menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini.

Perintah reman itu dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar, Nurkhalida Farhana Abu Bakar selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.

Kelima-lima tertuduh direman lima hari bermula hari ini hingga Ahad depan bagi siasatan lanjut.

Hari ini, tiga pegawai Jabatan Imigresen dan dua orang awam dilaporkan ditahan di sini, semalam selepas disyaki meminta dan menerima rasuah bagi membolehkan penyeludupan masuk warga asing menerusi LTAS.

Menurut sumber SPRM, kelima-lima suspek itu membabitkan empat lelaki dan seorang perempuan berusia antara 35 hingga 46 tahun.

Katanya, SPRM Johor dengan kerjasama Unit Integriti JIM Johor membawa kepada penahanan tiga orang pegawai Imigresen dan dua orang awam berkenaan, semalam.

Disiarkan pada: March 6, 2024 @ 12:49pm
d